Pengenalan
Motivasi merupakan
kecenderungan daripada diri seseorang yang dapat mempengaruhi tingkah lakunya (Kamaruddin,1997).
Motivasi menentukan hala dan keberkesanan sesuatu proses pembelajaran. Motivasi
merupakan elemen yang sangat penting dalam proses pengajaran dan
pembelajaran (P&P). Motivasi boleh
membuatkan proses P&P menjadi lebih berkesan dan menarik. Motivasi
memerlukan rangsangan untuk diwujudkan. Bagi konteks guru dengan murid, guru
merupakan pihak yang akan memberikan rangsangan kepada pelajar untuk
menimbulkan motivasi dan kecenderungan mereka untuk belajar. Motivasi antara
pelajar dan guru boleh terdiri dalam bentuk hadiah, penghargaan , dan
keprihatinan terhadap murid. Oleh hal yang demikian, guru haruslah bijak untuk
memotivasikan murid dengan pelbagai kaedah dan teknik yang bersesuaian dengan
pemikiran murid.
Definisi
Motivasi
Perkataan
motivasi berasal daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu “motivation”. Menurut
Kamarudin Hj. Husin (1997), motivasi merupakan kecenderungan daripada diri
seseorang yang dapat mempengaruhi tingkah lakunya. Hal ini adalah kerana
motivasi bergantung kepada kecenderungan seseorang individu itu sendiri untuk
membangkitkan dan mengawal motivasi diri. Selain itu, Crow & Crow (1981)
menghuraikan motivasi sebagai suatu desakan yang menjadikan manusia mengubah
sikap, minat atau kegiatannya. Motivasi pada murid sama ada boleh dibangkitkan
melalui kecenderungan murid itu sendiri ataupun dibangkitkan oleh pihak lain
seperti keluarga dan guru. Menurut Vroom dalam M. Ngalim Purwanto (1992),
motivasi memacu kepada suatu proses mempengaruhi pilihan-pilihan individu
terhadap bermacam-macam bentuk kegiatan yang dikehendaki.
H.
W Benard, dalam bukunya Psychology of Learning (1965), menyatakan motivasi
ialah proses membangkitkan , mengekalkan dan mengawal minat. Hal ini bermaksud
motivasi ialah cara bagaimana untuk mewujudkan minat pada diri seseorang untuk
melakukan sesuatu tindakan atau kegiatan. Sharifah Alwiah Alsagoff (1986)
menghuraikan motivasi sebagai perangsang tindakan terhadap sesuatu tujuan yang
dahulunya hanya terdapat sedikit atau tiada minat terhadap tujuan tersebut. Secara
kesimpulan, berdasarkan pendapat di atas motivasi didefinisikan sebagai sebab,
tujuan atau pendorong kepada seseorang untuk mengubah tingkah laku dan minatnya
terhadap sesuatu tujuan sama ada ke arah positif atau negatif
Implikasi Motivasi Dalam P & P
Implikasi
memotivasikan pelajar dalam P&P ialah mempercayai pencapaian pelajar boleh
dipertingkatkan. Contohnya, jangan abaikan pelajar yang lemah dalam subjek
tertentu dan beri kata perangsang serta beri kepercayaan kepadanya untuk terus berusaha. Selain itu, suasana pembelajaran lebih menyeronokkan. Contohnya, melakukan aktiviti
permainan yang berorientasikan subjek tertentu. Penglibatan pelajar juga
dapat dipertingkatkan melalui aktiviti
seperti unit beruniform dan lain-lain. Guru juga boleh menggunakan set induksi yang menarik untuk membangkitkan naluri
ingin tahu pelajar seperti menayangkan video dan sebagainya. Guru juga
haruslah menggunakan ciri-ciri
komunikasi yang positif. Contohnya, memberi senyuman dan mengangguk kepala
semasa berinteraksi dengan pelajar bagi memberi semangat untuk pelajar lebih
bermotivasi.
Cara Memotivasikan Murid Dalam Kelas
Terdapat dua jenis teknik
motivasi iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Motivasi intrinsik
diwujudkan secara semula jadi daripada rangsangan dalaman. Ia terdiri daripada
dorongan dan minat individu bagi melakukan sesuatu aktiviti tanpa mengharap
ataupun meminta ganjaran. Bagaimanapun, bukan semua motivasi intrinsik
diwujudkan secara semula jadi. Terdapat juga motivasi intrinsik dibentuk
daripada pembelajaran dan pengalaman yang membawa kepuasan. Contohnya, tabiat
membaca buku cerita dan bermain alat muzik adalah gerakan motivasi intrinsik
yang dibentuk daripada pembelajaran dan pengalamannya. Ia juga dikaitkan dengan
naluri ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan seseorang. (Bruner,1966)
contohnya bermain piano atau menggubah lirik lagu.
Motivasi ekstrinsik
diwujudkan daripada rangsangan luaran dengan tujuan menggerakkan orang untuk
melakukan sesuatu aktiviti yang membawa faedah kepadanya. Menurut beliau lagi,
motivasi ekstrinsik ini boleh dirangsang
dalam bentuk-bentuk seperti pujian, insentif, hadiah, gred dan membentuk
suasana dan iklim persekitaran yang kondusif bagi mendorongkan pelajar belajar.
Motivasi ekstrinsik merupakan teknik motivasi yang sering diguna pakai oleh
guru untuk memotivasikan murid.
Kepentingan Motivasi
Secara umumnya, motivasi adalah untuk
menggerakkan seseorang agar menimbulkan keinginan dan kemahuannya untuk
melakukan sesuatu sehingga memperoleh hasil atau mencapai tujuan tertentu (M.
Ngalim Purwanto, 1992). Motivasi penting dalam pengajaran dan pembelajaran
(P&P) bagi memastikan murid sentiasa mempunyai minat dan semangat untuk
belajar. Minat dalam belajar penting bagi memastikan murid sentiasa mengikuti
aktiviti pengajaran. Motivasi merupakan sesuatu langkah untuk memajukan murid
agar dapat belajar dengan baik. Apabila murid bermotivasi untuk belajar, mereka
lebih memahami dan menerima input pengajaran yang diajar oleh guru dengan
mudah.
Motivasi dapat menimbulkan minat seseorang murid
terhadap mata pelajaran di sekolah. Minat murid ini bergantung pada bagaimana
seorang guru mengajar di dalam kelas. Penggunaan motivasi seperti berbentuk
penghargaan dan kasih sayang dapat membantu murid minat terhadap mata pelajaran
yang diajar. Guru yang prihatin sangat disukai oleh murid-murid. Apabila
seseorang guru prihatin terhadap muridnya, murid akan berasa bahawa mereka
dihargai dan murid menyukai guru serta meminati mata pelajaran yang diajar,
pelajar akan dapat menerima apa sahaja yang diajar oleh guru dan berusaha
mencapai kejayaan yang cemerlang.
Motivasi dapat membentuk hubungan yang baik antara
guru dan murid dan antara murid dengan murid. Pengaruh rakan amat penting semasa
murid mengawal aktiviti pembelajaran mereka sendiri. Motivasi sangat
mempengaruhi emosi murid. Misalnya sekiranya emosi mereka dikecewakan oleh
rakan mereka dalam aktiviti kelas, murid berkenaan berkemungkinan besar akan
patah semangat dan tidak bermotivasi untuk belajar. Oleh itu, guru sangat
berperanan besar dalam menghidupkan kembali motivasi agar murid dapat belajar
dengan minat yang tinggi. Motivasi dapat membantu pelajar menjadi lebih yakin
terhadap keputusan diri sendiri. Murid yang sentiasa yakin dengan diri sendiri
akan sentiasa bermotivasi untuk menjadi seseorang yang berjaya.
Selain itu, motivasi juga akan mewujudkan persaingan
di dalam kelas. Guru harus bijak mengawal muridnya agar dapat bersaing dengan
baik bagi mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Guru harus
berupaya mewujudkan persaingan positif dalam kalangan pelajarnya agar murid
lebih tekun untuk meningkatkan prestasi. Bagi tujuan menggalakan persaingan,
guru boleh memberi pujian dan hadiah ataupun penghargaan kepada murid yang
berjaya dalam mata pelajaran. Hal ini dapat meningkatkan usaha murid yang lain untuk
mencapai kejayaan yang cemerlang juga. Bagi murid yang tidak berjaya , guru
tidak harus mendenda atau memarahi murid yang gagal kerana itu akan menjatuhkan
lagi semangat dan motivasi mereka untuk belajar.
Di samping itu, motivasi akan menjadikan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna. Apabila murid seronok belajar
keadaan kelas tidak akan menjadi tegang.
Guru harus mengajar dengan cara yang menarik agar dapat menimbulkan keseronokan
belajar dalam kalangan murid. Keseronokan belajar ini penting bagi meningkatkan
lagi mutu pencapaian akademik. Motivasi juga dapat mendorong pelajar melibatkan
diri dengan aktif dalam proses pembelajaran. Interaksi antara guru dengan murid
sangat penting bagi meningkatkan tindak balas pelajar semasa guru mengajar.
Teras Memotivasikan Pelajar Menurut Esah Sulaiman (2003).
Terdapat beberapa
teras motivasi yang diberikan oleh Esah Sulaiman, antaranya ialah murid
hendaklah membahagikan tugas dengan betul supaya tugas yang dilakukan seimbang.
Hal ini kerana, keseimbangan dalam melakukan tugas amat penting dan dapat
membantu murid untuk mengatur masa mereka dengan baik. Selain itu juga, murid
mampu untuk melakukan pelbagai kerja atau tugasan dengan baik dan berkualiti
kerana keseimbangan yang dilakukan dalam menjalankan atau menyiapkan tugasan
yang diberikan. Apabila tugasan dibuat secara seimbang, nescaya murid tidak
akan mempunyai masalah dalam menyiapkan tugasan mereka. Malah, mereka juga
mampu untuk melakukan aktiviti lain dalam masa yang sama kerana tugasan atau
kerja sudah dibuat dengan baik dan siap.
Selain
itu, teras motivasi yang kedua ialah guru perlu menyediakan kemudahan bahan
bantuan pengajaran dalam pembelajaran. Bahan bantu mengajar yang digunakan
dalam kelas mampu membantu guru untuk menyampaikan pengajaran mereka dengan
berkesan kepada pelajarnya. Hal ini kerana, bahan ini mampu memudahkan pelajar
untuk memahami dan membantu mereka dalam pengajaran yang diajar oleh guru
mereka. Malah, pelajar juga mampu menerima pembelajaran dengan cepat dan
memahami takrif konsep yang ingin disampaikan oleh guru mereka. Antara alatan
bahan bantuan dalam pembelajaran yang sering digunakan oleh guru ialah guru
menggunakan LCD untuk memberi murid pemahaman yang sebenar mengenai
pembelajaran yang diajar. Tetapi, guru juga perlu mengetahui bahan yang
digunakan dalam pembelajaran mestilah sesuai dengan subjek yang ingin diajar
supaya objektif yang ingin disampaikan berkesan kepada pelajar yang
menerimanya.
Seterusnya
ialah, guru mestilah tidak mempunyai sikap perbandingan dalam kalangan
pelajarnya atau lebih tepat dikatakan guru mestilah mengelakkan perbandingan
status sosial dalam kalangan muridnya. Seorang guru yang berkaliber selalunya
bersikap adil kepada pelajarnya kerana sikap ini merupakan cerminan yang
positif kepada pelajarnya. Sekiranya seorang guru bersikap sambil lewa dan
hanya menumpukan kepada pelajar yang berstatus tinggi sahaja, ini akan
menyebabkan pelajar mereka yang berstatus sosial rendah akan merasa rendah diri
dan dipinggirkan dalam kelas. Malah, mereka juga tidak mahu meneruskan
pembelajaran mereka kerana malu dan tidak mempunyai minat. Hal ini merangsang
mereka supaya tidak mahu menonjolkan diri dan akan terus menjadi seorang yang
pasif apabila berada di dalam kelas.
Teras
motivasi yang terakhir ialah seorang guru yang bijak akan mengadakan pembaharuan
dan memberikan cabaran kepada pelajarnya. Seorang guru yang berkaliber akan
membuat pembaharuan melalui cara pengajarannya kerana pembaharuan yang
dilakukan akan menarik minat pelajar untuk belajar dan mereka juga akan seronok
dengan aktiviti yang mencabar mereka kerana pengajaran baru yang diberikan
kepada mereka akan menambah pemahaman mereka untuk menjadi seorang yang kreatif
dalam melakukan tugasan yang dilaksanakan. Malah, pembaharuan yang dibuat akan
menjadikan mereka rasa tercabar dan ingin mengetahui langkah atau cara yang
betul untuk menyelesaikan masalah yang diberikan. Sebagai contoh, guru mestilah
memberikan tugasan kepada pelajar dan meminta pelajar untuk menyampaikan
pemahaman mereka mengikut kreativiti masing-masing. Pemberian tugasan seperti
ini mampu memberikan cabaran kepada murid untuk menyiapkan tugasan mereka.
Malah, cara ini mampu menjadikan pelajar yang mampu berfikir di luar kotak dan
menemui pelajaran yang baru semasa tugasan itu dipersembahkan.
Cara Untuk
Meningkatkan Motivasi Dalam Diri Pelajar
Antara cara yang
perlu dilakukan oleh seorang guru untuk meningkatkan motivasi dalam diri
pelajar mereka ialah dengan memberi pelajar mereka hadiah berbentuk ganjaran. Hal
ini kerana, melalui ganjaran yang diberikan pelajar akan lebih berminat dan
bersemangat untuk meneruskan pelajaran. Ganjaran yang diberikan juga mestilah
setimpal dengan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran tersebut. Apabila
seseorang pelajar itu diberikan ganjaran, pelajar lain juga akan merasa ingin
ganjaran itu diberikan juga kepada mereka. Hal ini akan menyebabkan mereka akan
lebih tekun dan semangat untuk meneruskan pembelajaran dan bersaing secara
sihat untuk mencapai seperti pelajar yang diberikan ganjaran itu.
Selain
itu, cara meningkatkan motivasi yang
kedua ialah murid perlu tetapkan matlamat mereka sendiri. Seorang pelajar yang
ingin berjaya mestilah mempunyai matlamat mereka yang tersendiri dan tidak
terlalu menurut permintaan orang lain kerana hal itu akan menyebabkan mereka
merasa tidak selesa dan akan kurang untuk menjadi seorang yang berjaya. Selain
itu, matlamat yang ingin dicapai mestilah tidak melebihi kemampuan kita kerana
matlamat yang mudah dan ringkas mampu memudahkan murid untuk mencapai matlamat
mereka dengan jelas. Murid juga perlu menetapkan matlamat dengan yakin dan
perlu dilakukan dengan semangat yang tinggi kerana sasaran yang ingin dicapai
akan mudah diperoleh. Ibu bapa mestilah memberi sokongan dan dorongan kepada
mereka supaya mereka akan lebih bersemangat untuk mencapai matlamat yang telah
disasarkan. Ibu bapa juga mestilah mengetahui minat anak mereka supaya mereka
tidak memaksa anak mereka supaya mengikut keinginan mereka kerana hal ini akan
menyebabkan mereka tidak mempunyai semangat dan malas untuk berusaha.
Seterusnya
ialah, seorang guru yang baik mestilah mengambil berat tentang keperluan atau
masalah yang dihadapi oleh pelajarnya. Setiap pelajar mempunyai masalah yang
berbeza dan mereka juga biasanya malu dan segan untuk memberitahu masalah
kepada guru mereka kerana takut dimarahi. Sekiranya hal ini berlaku, guru
mestilah memainkan peranannya dalam mendekati pelajar yang bermasalah dengan
pendekatan yang berbeza. Melalui dengan cara itu, pelajar tidak akan merasa
malu dan mampu untuk meluahkan masalah yang dihadapi tanpa rasa ragu-ragu.
Seorang juga perlu mengambil bera tentang masalah yang dihadapi oleh pelajarnya
kerana tanpa perhatian daripada guru, mereka akan memberontak dan bersikap di
luar kawalan.
Cara
lain untuk meningkatkan motivasi dalam diri seorang pelajar ialah melalui
penglibatan murid dalam aktiviti yang dianjurkan oleh guru mereka sendiri.
Penglibatan murid amat penting dalam aktiviti yang dianjurkan oleh guru kerana
melalui penglibatan ini, guru mampu melihat sejauh manakah pelajar memahami
pembelajaran yang diajarkan kepada mereka. Guru juga mampu melihat sikap dan
personaliti pelajar melalui penglibatan pelajar itu sendiri. Sekiranya pelajar
tersebut aktif dalam melibatkan diri dengan setiap perkara yang dianjurkan, itu
menunjukkan bahawa pelajar tersebut boleh menerima setiap pelajaran tersebut
dan memahami konsep yang disampaikan oleh guru mereka.
Di
samping itu ialah, guru mestilah memenuhi keperluan pelajar dalam mata
pelajaran yang diajar. Memenuhi keperluan pelajar bukanlah bermaksud guru
tersebut perlu mengambil peranan dan bertindak sebagai penjaga terhadap pelajar
tersebut tetapi memenuhi keperluan pelajar di sini ialah dalam memastikan murid
menerima input yang diberikan berkesan dan difahami oleh pelajar tersebut.
Malah, seluruh pelajar dalam kelas mampu menerima setiap butiran yang
dijelaskan kepada mereka dan mereka tidak akan merasa keliru dengan apa yang
cuba disampaikan oleh guru mereka.
Cara
yang terakhir untuk meningkatkan motivasi ialah seorang guru mestilah
mengelakkan daripada mengenakan hukuman berat kepada pelajarnya. Apabila
seorang guru mengenakan hukuman berat kepada pelajarnya, emosi mereka menjadi
tidak stabil dan menganggap bahawa guru mereka membenci mereka. Hal ini akan
menyebabkan mereka akan menjadi semakin agresif dan bertindak mengikut kata
hati. Disebabkan perkara inilah yang menyebabkan keluarnya isu pelajar
menggores kereta guru yang dibencinya. Seorang guru yang profesional akan
menyelesaikan masalah dengan cara yang berhemah bukannya terus menggunakan
hukuman sebagai alat untuk membentuk pelajar.
Cara
Memotivasikan Murid Dalam Kelas.
Antara cara untuk
memotivasikan murid di dalam kelas ialah dengan cara mengamalkan peneguhan
positif dan peneguhan negatif di samping menghantar murid mengikuti kem
motivasi di luar kelas. Amalan peneguhan positif merupakan suatu usaha yang
menyediakan pencetus yang terancang dan sesuai serta memungkinkan pengulangan
atau peningkatan tingkah laku yang dikehendaki yang lebih baik. Contohnya, guru
memberi hadiah kepada murid yang telah membuat kerja dengan baik. Hal ini
bertujuan supaya murid lain cenderung untuk memberikan hasil yang lebih baik
dan berkualiti kepada apa yang dipelajarinya. Peneguhan negatif pula ialah guru
menggunakannya ketika terdapat perlakuan dan tindakan pelajar yang bersifat
negatif. Mengenakan denda atau hukuman diguna pakai oleh guru sekiranya pelajar
tersebut tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan pada masa yang telah
ditetapkan. Peneguhan negatif ini bertujuan untuk membuatkan pelajar sedar akan
kesilapan mereka dan berazam untuk mengubah tingkah laku mereka ke arah yang
lebih baik.
Selain itu, guru mestilah menggunakan
cara pengajaran yang lebih menarik. Cara pengajaran yang menarik bermaksud
pengajaran yang diajar oleh guru mestilah berpusatkan kepada pelajar kerana
pelajar yang menerima input yang disampaikan oleh guru. Malah, ia juga mesti
melibatkan proses P&P supaya murid tidak merasa bosan dan hilang tumpuan.
Seorang guru perlu menguasai dan memperkasakan diri dengan pelbagai ilmu
pedagogi serta mengamalkannya di dalam kelas mahupun di luar kelas. Antara cara
yang perlu digunakan ialah guru tidak semestinya menggunakan pengajaran sehala tetapi pengajaran dua hala
juga mampu menarik minat pelajar terbabit. Malah, guru juga perlu memberi
peluang dan kebebasan kepada pelajar untuk membuat keputusan supaya mereka
merasa diperlukan dan mempunyai fungsi.
Seterusnya,
guru perlu bijak menggunakan pelbagai emosi untuk merangsang pembelajaran dan
motivasi murid di dalam kelas. Apabila pelajar tidak berminat kerana tiada
semangat untuk belajar, guru perlu memainkan peranan dan berupaya untuk
menceriakan keadaan di dalam kelas supaya emosi dan semangat mereka hadir untuk
teruskan pembelajaran. Guru juga perlu melakukan unsur kecindan supaya murid
tidak merasa bosan dan mengantuk ketika guru sedang mengajar. Contohnya, dalam
mata pelajaran sastera guru perlu bersyair, berpantun, bergurindam dan
sebaiknya untuk menarik minat pelajar. Pada masa yang sama, pelajar dapat
bergerak secara aktif, terhibur dan mempelajari mata pelajaran dengan mudah.
Di
samping itu, guru mestilah menggunakan pengajaran dan penerangan yang jelas
kepada pelajarnya. Apabila seorang murid lemah dalam membuat tugasan dan tidak
aktif dalam penglibatan adalah disebabkan mereka tidak memahami apa yang perlu
mereka lakukan. Guru sepatutnya meluangkan masa untuk menjelaskan mengapa
mereka perlu mengajar sesuatu topik dan tentang kepentingan aktiviti yang
dilakukan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila pelajar mengetahui
tentang objektif pembelajaran, mereka akan lebih berminat untuk belajar tetapi
jika pelajar tidak pasti tentang apa yang dilakukan, mereka tidak akan berminat
untuk belajar dan mendapat prestasi yang kurang baik.
Cara
terakhir untuk memotivasikan murid dalam kelas ialah guru perlu menerima murid
seadanya serta prihatin terhadap murid. Guru tidak boleh bersikap pilih kasih
dan perlu menerima murid yang tidak bijak dan lemah dalam mata pelajaran.
Apabila guru memandang murid yang bermasalah dalam kelas sebagai masalah dan mengganggu
proses pembelajaran, guru akan bertindak menghalau murid keluar kelas.
Kesannya, pelajar tersebut merasa disisih dan kecenderungan mereka untuk
belajar juga hilang serta mereka juga disisih daripada proses pembelajaran.
Guru yang menghina murid yang lemah akan menyebabkan mereka runtuh minat untuk
belajar. Guru sepatutnya memberi kata perangsang dan memahami keadaan murid
yang bermasalah supaya mereka akan lebih bersemangat untuk belajar.
artikel ini ditulis tarikh bile ye?
BalasPadamizinkan saya menggunakan artikel ini sebagai persiapan saya dalam peperiksaan akhir tahun saya.😊🙏
BalasPadam