Sebelum kita meninjau
Falsafah Pendidikan Islam, adalah lebih elok diperincikan dahulu tentang
Falsafah Islam itu sendiri dan juga asal perkataan falsafah. Perkataan falsafah
berasal daripada bahasa Yunani Kuno, dan dalam pengertian yang bebas ia
bermaksud "Cintakan Hikmah"(Al-Syaibany, 1991) Hikmah ialah satu
pandangan dan fikiran yang tinggi atau jauh serta matang. Pengamatannya tidak
dapat dicapai oleh pengetahuan biasa.
Dalam Oxford Dictionary
(1982) ditakrifkan falsafah sebagai:
"Seeking after
wisdom or knowledge especially that which deals with ultimate reality, or with
the most general causes and principles of things and ideas and human perception
and knowledge of them, physical phenomena and ethics"
Jadi, falsafah
merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran, (seeking the thruth), dan
kebenaran itu sebenarnya hanya Allah. Kalau kita cuba mencari erti hakikat
hidup, maka ini adalah falsafah. Hakikat hidup yang sebenar hanya Allah sahaja
yang mengetahuinya. Yang kita tahu berdasarkan apa yang diberitahu oleh Allah,
maka itulah yang benar dan mutlak. Yang kita fikirkan sendiri menjadi falsafah
kita dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah, maka itu tidakalah sebenar, ia
tidak mutlak dan ianya bersifat relatif. Sebab itu bermacam-macam falsafah
timbul hasil pemikiran manusia. Seperti Liberalisme, Idealisme, Asetisme,
Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak lagi. Jika
falsasfah itu berpunca daripada Allah atau wahyu, maka ia akan sama sahaja
perinsipnya dan juga matlamatnya.
Falsafah Islam ialah
falsafah yang berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi apabila
seseorang Islam yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira
sama ada falsafah hidup atau falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain,
perbincangannya tidak akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam.
Sebaliknya, seorang Islam yang tidak memahami hakikat Islam, malah ia telah
lebih dahulu mendalami falsafah lain daripada Islam, menjadi sangat susah ia
menerima falsafah Islam. Malah falsafahnya yang dikatakan Islam itu dalam
banyak hal bertentangan dengan kehendak Islam.
Jika falsafah itu
diertikan dengan "cintakan hikmah atau kebenaran" maka falsafah Islam
bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang berasaskan ajaran Islam. Dan ajaran
Islam itu bersumberkan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Failasuf Islam dari
setiap zaman, apabila membincangkan tentang falsafah biasanya mereka tidak akan
lari daripada soalan-soalan berikut sebagai asas perbincangan, iaitu: Siapa
anda (apa hakikat diri anda)? Dari mana anda datang? Kenapa anda berada di sini
(alam dunia)? Kemana anda akan pergi? Apa tujuan hidup? Dan apakah hakikat
mati? (Yaljin, 1991).
Perkataan hikmat
disebut beberapa kali di dalam Al-Quran dengan maksud yang berbeza mengikut
qarinah ayat berkenaan. Hikmah ada kalanya bermaksud bijaksana (surah An-Nahli
125). Mengikut Muhammad Nasir (1978) hikmah di sini bermaksud mengenal
golongan. Sheikh Muhammad Abduh pula berkata bahawa "Hikmah itu ialah
memahami sesuatu tentang rahsia dan faedahnya".
Untuk memahami sesuatu
tentulah memerlukan ilmu, kerana ilmulah penyuluh untuk mengenal sesuatu. Jadi
ilmu ini tentulah ilmu yang benar. Dalam versi yang lain Muhammad Abduh
mengatakan bahawa "Hikmah itu ilmu yang benar yang menjadi pengerak untuk
melakukan sesuatu pekerjaan yang berfaedah"
Orang yang mempunyai
hikmah ini digelar "Hakeem". Ia bermaksud orang yang mahir dalam
sesuatu bidang dan melakukannya dengan cukup baik dan halus (Muhammad Nasir,
1978). Adakalanya hikmah itu bermaksud ilmu, iaitu ilmu yang tinggi
martabatnya. Ini berdasarkan ayat 269 surah al-Baqarah. Orang yang mempunyai
hikmah mempunyai pandangan yang jauh, bukan setakat lima atau enam puluh tahun
ke hadapan, tetapi sampai ke alam akhirat. Ini jelas seperti cerita Luqman
al-Hakeem di dalam Al-Quran.
Falsafah Islam cuba maencari
hakikat manusia dan alam semesta ini. Setelah berusaha mencari dan berfikir
berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah
untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan khalifah, kemudian mereka akan mati
dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh
Allah. Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat 55 surah Az-Zariyat, 30
Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan lain-lain.
Falsafah Pendidikan
Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Ialam, iaitu falsafah
Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany,
1991). Jadi, maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan
manusia dengan dan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas
dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan
tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Bila ia dapat menjalankan
tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang saleh.
Ahli falsafah pendidikan
Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang berusaha berfikir mencari
apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam kurikulum pendidikan. Ini
termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman dan sebagainya, yang mana
setelah menjalani pendidikan beberapa lama akan lahir seorang insan yang kenal
dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui
hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada
dengan orang Islam atau pun bukan Islam. Antara perkara yang penting yang
difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam ialah:
Pendidikan Aqidah,
Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal, Pendidikan Jasmani,
Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan Keibubapaan, Pendidikan
Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi.
Jadi, berdasarkan
falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan diatas itu perlu ada dan menjadi
tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan Islam. Dengan demikian, barulah
dapat melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan
khalifah Allah dengan betul dan sempurna seperti yang dibincang dalam Matlamat
Pendidikan Islam. Penyataan Falsalah Pendidikan Islam yang digubalkan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia, nampaknya ada unsur untuk menuju ke arah ini.
Sumber:
http://pendislami.tripod.com/new_page_1.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan