Cari Blog Ini

Pengurusan bilik darjah

 Pengenalan
Bilik darjah atau kelas di sekolah penting sebagai medium bagi menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran ialah perancangan dan pelaksanaan aktiviti yang dirangka secara kreatif dan menarik untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kebolehan dan kesungguhan pelajar dalam proses ilmiah. Guru perlu menarik perhatian pelajar dengan aktiviti-aktiviti yang menarik dan mempelbagaikan kaedah pengajaran. Pembelajaran pula ialah aktiviti atau proses di mana pelajar tersebut memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran baru serta mengaplikasikannya. Justeru, menjadikan pelajar lebih yakin untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan bijaksana.
Di dalam bilik darjah, selain mengajar, guru juga memainkan peranannya sebagai pengurus. Tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif. Kecekapan guru dalam menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yang baik dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Pelbagai kekangan dan permasalahan yang akan wujud dalam bilik darjah. Oleh itu, keperluan dan kesedaran tentang pentingnya pengurusan bilik darjah perlu ada dan ditanam di dalam dada semua insan yang bergelar pendidik.


 Pengurusan bilik darjah melibatkan pembinaan suasana pembelajaran yang terbaik dalam bilik darjah bagi meningkatkan motivasi pelajar dan memperkembangkan sikap tanggungjawab serta kebolehan untuk membuat perancangan sendiri (Noraini Idris, 2009). Pengurusan bilik darjah bermaksud bagaimana bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling berkerjasama dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran berlaku (Bosch, 2006).
Kecekapan pengurusan bilik darjah seseorang guru berkait rapat dengan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (Abdullah Sani, 2006). Pengurusan bilik darjah merupakan sebahagian dari proses pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk membina serta memupuk tingkah laku pelajar dalam bilik darjah agar proses pengajaran dapat dilaksanakan dengan lancar, manakala aktiviti penyampaian ilmu bertujuan pelajar dapat mencapai objektif spesifik sesuatu pembelajaran (Haliza & Joy Nesamalar, 2009). Suasana pembelajaran yang berkesan tidak mungkin terbina dengan hanya memberi tumpuan pada proses penyampaian isi pengajaran guru sahaja. Ia turut melibatkan aspek pengurusan bilik darjah serta tingkah laku pelajar.
Pengurusan bilik darjah berkesan mampu meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Seorang guru seharusnya mampu mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan lancar dan berkesan tanpa gangguan (Hasani Dali & Mohd Johdi, 2009). Disamping itu, ia mampu mempengaruhi motivasi, tingkah laku serta penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bilik darjah yang diurus dengan baik adalah tempat dimana pelajar sentiasa mengambil berat dan bekerjasama di antara satu sama lain, membuat pilihan yang bijak dan sering berusaha untuk menghasilkan kerja yang berkualiti, menarik dan penting bagi mereka (Levin & Nolan, 2000).
Persekitaran pembelajaran yang kondusif adalah tempat pelajar dapat melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pelajaran (Haliza & Joy Nesamalar, 2009). Maka, bilik darjah yang diurus dengan baik dapat membentuk satu iklim pengajaran dan pembelajaran yang positif dan kondusif. Namun, ia sukar untuk diwujudkan dan sangat mencabar buat semua guru. Sekiranya ia wujud dalam bilik darjah, pelajar akan berminat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan tanpa gangguan atau halangan. Iklim pembelajaran mencakupi semua elemen yang ada di sekeliling pelajar dan berupaya mempengaruhi pembelajaran dan tingkah laku pelajar (Abdullah Sani, Abdul Rashid & Abdul Ghani, 2007). Oleh itu, bilik darjah perlu bersifat mesra- pelajar.
Pengurusan bilik darjah bukan sahaja melibatkan pengurusan tingkah laku pelajar tetapi merangkumi tindakan guru untuk mewujudkan dan mengekalkan persekitaran pembelajaran dalam bilik darjah (Choong Lan Keow, 2009). Kecekapan dan keberkesanan kemahiran guru dalam mengurus bilik darjah dapat menggalakkan pembentukkan iklim pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pada masa kini pengurusan tingkah laku pelajar semakin mencabar dan tingkah laku mereka sukar dikawal dengan berkesan sehingga menyebabkan gangguan pada proses pengajaran dan pembelajaran. Ianya boleh mempengaruhi iklim disiplin dan pencapaian mereka serta turut memberi kesan kepada iklim dan budaya sekolah. Sehubungan ini, pengetua perlu memastikan para guru memahami tugas dan peranan mereka dalam menentukan disiplin pelajar di bilik darjah berada dalam keadaan baik dan terkawal pada setiap masa.

Ilmu menguruskan bilik darjah
Terdapat beberapa ilmu mengurus bilik darjah yang perlu seseorang guru itu miliki dan kuasai. Antara ilmu mengurus bilik darjah tersebut ialah ilmu pengurusan dari segi fizikal, sosial dan emosi. Dari aspek pengurusan fizikal, perkara yang perlu diutamakan oleh seseorang guru adalah memastikan keadaan bilik darjah itu sentiasa bersih dan kemas. Selain itu, susunan meja juga penting dalam mewujudkan suasana yang kondusif. Susunan meja di dalam bilik darjah perlulah mengikut peredaran zaman iaitu susunan meja yang berkonsepkan alaf 21 yang mana meja guru tidak semestinya berada di hadapan kelas dan susunan meja murid-murid sepatutnya dibuat secara berkumpulan agar memudahkan murid-murid untuk berkomunikasi dan berbincang. Hal ini kerana, ia akan melancarkan pergerakan guru untuk mendekati murid dengan sebab ingin memahamkan lagi murid-murid tentang sesuatu topik tersebut. Sudut-sudut bacaan yang menarik juga hendaklah diwujudkan bagi merangsang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif dan berinovasi.
Dari aspek pengurusan sosial pula, perkara yang paling penting adalah kemahiran komunikasi. Seseorang guru itu perlu bijak dalam berkomunikasi dengan murid-murid dalam memastikan ilmu yang diajarkan difahami oleh murid-murid. Jadi, guru perlu menggunakan bahasa yang berkesan iaitu tepat, jelas dan ringkas. Penggunaan bahasa yang panjang dan meleret-leret akan menyukarkan murid untuk memahami apa yang guru ajarkan dan menyebabkan murid berasa bosan dengan apa yang guru sampaikan. Oleh itu, guru perlu mempunyai ilmu tentang aspek pengurusan sosial ini demi mewujudkan hubungan yang baik antara guru dan murid-murid. Dari aspek pengurusan emosi, seseorang guru itu perlulah sentiasa bersikap profesional dalam semua perkara. Guru perlu bersikap profesional agar perkara yang tidak diingini berlaku. Misalnya, sekiranya guru tersebut mempunyai masalah peribadi dan beliau tidak sepatutnya mencampuradukan urusan peribadi dengan urusan di sekolah. Hal ini kerana secara tidak langsung, ia akan memberi kesan yang negatif kepada murid-murid di dalam bilik darjah.
Ilmu mengurus bilik darjah yang seterusnya ialah ilmu pengurusan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pengajaran dan pengurusan adalah penting dan ia saling berkait. Jadi, ini melibatkan perancangan guru dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dapat mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan. Peningkatan profesionalisme guru di dalam bilik darjah dapat dilihat dalam aspek kebolehan mencorak kualiti pengajaran, kebolehan menyusun organisasi pembelajaran, kebolehan mencorak iklim dalam bilik darjah dan sebagainya.
Untuk mencapai kecekapan dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru tersebut perlu memiliki kebijaksanaan dan penelitian dalam merancang, melaksana, menyelia, menilai dan merefleksi diri terhadap sesuatu pengajaran dan pembelajaran itu. Selain itu, seseorang guru juga perlu mempunyai teknik pengajaran yang berkesan untuk melahirkan murid-murid yang berkualiti tinggi sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Jadi, bagi mendapatkan teknik pengajaran yang berkesan tersebut, seseorang guru itu perlu mengikut prinsip-prinsip yang tertentu.
Prinsip yang pertama ialah seseorang guru itu perlu melakukan perancangan dalam pengajaran. Oleh kerana pengajaran merupakan satu proses, jadi ia perlu melalui beberapa fasa atau peringkat yang berurutan yang biasanya dibentuk dalam rancangan pengajaran tahunan. Proses pengajaran dimulakan dengan set induksi iaitu peringkat awal pengajaran. Pada peringkat awal ini, seseorang guru itu perlu merancang dan memikirkan apa yang hendak diajarkan di dalam bilik darjah nanti. Apabila sudah mengenal pasti topik apa yang hendak diajar, guru tersebut perlu mencari maklumat atau bahan-bahan pengajaran sama ada melalui pembacaan buku, jurnal, tesis ataupun dengan melayari internet.
Setelah memperoleh bahan-bahan pengajaran yang diingini, guru tersebut perlu memahami dan mahir dalam topik tersebut. Seterusnya diikuti pula dengan perkembangan isi yang mana guru akan mempraktikkannya kepada murid-murid dengan membuat aktiviti berkumpulan untuk berbincang mengenai topik tersebut. Pada peringkat ini, ia akan menguji tahap kreativiti dan kecergasan murid-murid dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Proses pengajaran diakhiri dengan penutup yang menarik dan kreatif misalnya nyanyian yang bertujuan untuk memperkukuhkan lagi ingatan murid terhadap pelajaran yang telah disampaikan oleh guru.
Prinsip yang kedua pula ialah isi pelajaran yang disampaikan oleh guru hendaklah dikaitkan dengan pengetahuan dan pengalaman murid. Sesuatu pelajaran yang hendak disampaikan oleh guru kadang kala kurang mendatangkan kesan kepada murid- murid sekiranya sesuatu topik pelajaran itu tidak berkaitan dengan pengalaman dan pengetahuan sedia ada mereka. Oleh hal yang demikian, sesuatu pelajaran itu akan lebih bermakna jikalau guru mengaitkannya dengan pengalaman dan pengetahuan yang telah ada pada mereka. Dengan itu, setiap kali guru mengajar sesuatu topik, seharusnya guru tersebut memastikan bahawa isi pelajaran perlu disertakan dengan contoh- contoh yang telah mereka alami. Oleh itu, isi pelajaran akan menjadi lebih mudah difahami.
Prinsip yang ketiga ialah guru perlu mengambil berat tentang perbezaan seseorang individu. Pengajaran yang baik hendaklah mengambil kira soal perbezaan antara seseorang murid tersebut. Hal ini kerana setiap murid mempunyai keupayaan dan latar belakang yang berbeza. Di dalam bilik darjah, kumpulan murid boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pandai, sederhana dan lemah. Manakala dari aspek latar belakang, terdapat murid yang lahir dari golongan kaya, sederhana dan miskin. Dalam hal ini, guru perlu sedar bahawa guru tidak boleh menggunakan corak dan kaedah pengajaran yang sama bagi semua murid. Pengetahuan yang tinggi terhadap seseorang murid adalah penting bagi membantu guru memahami kehendak dan keperluan murid yang berbeza ini. Hasilnya, proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan sempurna seterusnya mencapai objektif yang ingin disasarkan.
Prinsip yang keempat ialah seseorang guru itu perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran. Dalam proses penyampaian pelajaran tidak ada kaedah tertentu yang sesuai untuk digunakan pada setiap masa. Oleh kerana itu, guru perlu kreatif memilih kaedah pengajaran supaya murid- murid tidak berasa bosan dan jemu dengan teknik pengajaran guru. Teknik pengajaran yang paling kreatif dan berkesan adalah dengan menggunakan Alat Bantu Mengajar (ABM). Alat Bantu Mengajar ini sangat berkesan digunakan pada alaf ini sejajar dengan negara yang semakin canggih dan maju ini. Dengan adanya Alat Bantu Mengajar ini, secara tidak langsung akan menarik perhatian murid-murid untuk belajar dan seterusnya merangsang minda mereka.
Prinsip yang kelima iaitu prinsip yang terakhir ialah guru perlulah memastikan murid-murid bergiat aktif dalam proses pembelajaran. Di dalam proses pengajaran, guru hendaklah melibatkan murid-murid untuk menjadikan mereka aktif dari segi mental dan juga fizikal sepanjang masa dalam tempoh pengajaran dan pembelajaran. Dalam kebanyakan situasi pembelajaran, murid-murid akan belajar dengan lebih baik lagi kalau mereka melakukan aktiviti jasmani sambil menumpukan kepada aktiviti- aktiviti mental. Misalnya, melalui mata pelajaran Sains, murid-murid perlu melakukan amali terhadap sesuatu topik dalam mata pelajaran Sains tersebut selain hanya mendengar penerangan daripada guru sahaja. Oleh yang demikian, dapat dilihat murid- murid yang aktif dalam bilik darjah akan mendapat keputusan peperiksaan yang baik berbanding murid-murid yang hanya pasif di dalam bilik darjah.
Ilmu mengurus bilik darjah yang terakhir ialah ilmu pengurusan disiplin murid. Dalam memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, aspek disiplin perlulah dititikberatkan oleh semua guru. Seseorang guru tersebut bertanggungjawab untuk menentukan peraturan, mengawal murid-murid supaya mematuhi peraturan bilik darjah, dan menasihati murid-murid yang melanggar peraturan. Antara ilmu pengurusan disiplin murid-murid yang boleh digunakan ialah cara autokratik yang bermaksud seseorang guru tersebut mempunyai kuasa yang mutlak ke atas kawalan, arahan, pengurusan dan hukuman berlandaskan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Murid-murid hanya boleh mematuhi segalanya untuk menjamin kewujudan disiplin yang baik dalam bilik darjah.
Cara lain yang boleh digunakan untuk mengawal disiplin murid-murid adalah dengan menggunakan kaedah kauseling. Kadang kala, ada sesetengah murid ini mempunyai masalah disiplin yang tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Sebagai seorang guru, kita perlu menasihatinya terlebih dahulu dan menegurnya dengan cara yang baik. Tetapi jika murid tersebut tidak mengendahkan nasihat guru kelas khususnya, guru tersebut perlulah merujuk masalah tersebut kepada guru kaunseling. Hal ini kerana latihan dan kepakaran yang ada pada guru kaunseling tersebut mungkin dapat mengatasi masalah disiplin murid itu dan seterusnya dapat mengubah sikap murid tersebut.
Cara mengawal disiplin murid di dalam bilik darjah yang terakhir adalah dengan memberi ganjaran kepada murid. Sebagai seorang guru, kita perlu mengetahui dan memahami apa yang disukai dan diminati oleh murid-murid. Sekiranya murid tersebut dapat menjawab ataupun berkelakuan baik di dalam bilik darjah, guru tersebut perlu memberi ganjaran ataupun bonus kepada murid itu misalnya menghadiahkannya pensil, pemadam, buku nota dan sebagainya. Dengan cara itu, murid akan berasa seronok dan bersemangat untuk belajar dengan lebih tekun lagi. Selain itu, pujian yang sederhana dan berpatutan juga perlu diluahkan kepada murid-murid untuk menunjukkan bahawa kita menghargai hasil kerja mereka dan itu merupakan satu ganjaran yang mudah dan berkesan yang boleh guru ungkapkan kepada murid-murid.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan