Cari Blog Ini

Jenis-Jenis bilik darjah

Jenis-jenis Bilik Darjah
 Persekitaran fizikal bilik darjah adalah penting kerana persekitaran yang kondusif boleh menggalakkan dan menghalang pembelajaran daripada terus berlangsung. Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pembelajaran. Manakala, menurut Haliza Hamzah (2009), suasana fizikal boleh menyumbang kepada pembelajaran murid, kawalan kelas, hubungan murid dengan guru dan murid dengan murid yang lain. Persekitaran yang selesa, kemas dan ceria mampu menyeronokkan pengalaman pembelajaran murid. Bilik darjah boleh dianggap sebagai guru atau ketua kedua di dalam kelas selain guru itu sendiri. Susun atur bilik darjah boleh menampakkan autoriti, stail pengajaran seseorang guru, menimbulkan rasa kepuasan dan membolehkan berlakunya interaksi di dalam kelas. Bilik darjah yang teratur, kemas dan bersih dapat mewujudkan keselesaan kepada pelajar untuk belajar dan keselesaan untuk guru mengajar. Oleh itu, aspek-aspek yang terlibat dalam penyediaan fizikal sebuah bilik darjah harus ditekankan.
Susunan Bilik Darjah Abad ke-21
. Guru perlu memainkan peranan yang penting dalam memahami dan bersedia melakukan perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran sesuai dengan pembelajaran abad ke -21, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan insiatif pembelajaran abad ke-21 secara rintis pada tahun 2014 dan meluaskan pelaksanaan keseluruhan negara mulai tahun 2015. Justeru, ANJAKAN keluaran membincangkan pembelajaran abad ke-21 serta berkongsi maklumat beberapa model susun atur kelas abad ke-21 sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan transformasi pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
            Guru juga perlulah berani dalam menyahut cabaran yang akan datang pada bila-bila masa sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal ini kerana, pembelajaran murid pada masa dahulu tidak lagi sama seperti pembelajaran masa sekarang. Cabaran pendidikan pada abad ke-21 adalah untuk menyediakan pembelajaran yang menjurus ke arah Kemahiran berfikir Aras Tinggi( KBAT) dan menjurus bilik darjah atau ruang pembelajaran yang lebih dinamik. Namun cabaran utama adalah bagaimana guru-guru menggunakan pelbagai sumber sokongan teknologi serta  maklumat bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara efektif dan berkualaiti serta relevan dengan perkembangan semasa. Untuk menghadapi cabaran ini, guru secara berterusan perlu mengemaskini pengetahuan, iaitu kandungan kurikulum dan kompetensi, iaitu pedagogi pengajaran dan pembelajaran supaya kekal relevan dengan keperluan semasa dan akan datang.


Ciri-ciri penyusunan kerusi meja yang ideal di dalam bilik darjah, kedudukan tersebut perlu diubahsuai. Terdapat beberapa penyusunan kerusi meja yang perlu diubahsuai dan sesuai untuk dipraktikkan di dalam bilik darjah.  Antaranya ialah, meja guru boleh diletakkan di hadapan kelas ataupun dipenjuru hadpan kelas supaya tidak menggangu pergerakan murid-murid. Fedric H. Jones (2008), ada menyatakan bahawa meja guru tidak semestinya berada di hadapan kelas. Hal ini kerana, akan menghadkan pergerakan guru dan akan dapat mengurangkan pelajar duduk secara berdekatan. Selain  itu, beliau juga memberi cadangan bahawa meja pelajar haruslah ditempatkan berhampiran  atau berhadapan dengan papan tulis. Hal ini akan memudahkan para pelajar untuk memahami pengajaran yang akan disampaikan oleh guru serta pelajar juga mudah untuk bertindak mengikut arahan guru. Guru juga dapat menggunakan papan tulis secara tidak langsung apabila meja guru berada di penjuru hadapan kelas.
Seterusnya, dari segi susunan meja pelajar pula, susunan yang paling sesuai ialah berbentuk kumpulan yang sama jumlah ahlinya. Kamaruddin Haji Husin di dalam bukunya Asas Pendidikan 1, Terbitan Longman Malaysia, susunan meja secara berkumpulan boleh disusun sama ada berbentuk U, bentuk L, ladam kuda dan banyak lagi. Pembelajaran dalam kumpulan dapat memberikan input yang jelas kepada pelajar berkenan dalam sesuatu topik. Apabila dalam kumpulan, semua pelajar akan berkongsi idea dan padangan tentang topik yang dibincangkan. Selain itu, aktiviti berkumpulan ini juga, dapat mewujudkan interaksi antara guru dengan pelajar dan pelajar dengan pelajar. Guru hanya akan bertindak sebagai pembimbing atau fasilatator yang memantau perbuatan pelajar dalam kumpulan. Melalui aktiviti ini akan mewujudkan pembelajaran yang berpusatkan kepada pelajar.
Kedudukan meja pelajar juga perlu disusun mengikut kesesuai pelajar dan ruang yang tidak terlalu luas dan sempit. Pelbagai bentuk digunakan untuk memberikan persekitaran yang selesa kepada pelajar termasuklah bentuk U, L, barisan dan kumpulan. Bentuk ini sesuai digunakan dalam kelas  kerana memberi peluang kepada pelajar yang berada di bahagian belakang dan tepi kelas agar dapat melihat tulisan ketika sesi pembelajaran berjalan. Dengan menggunakan pelbagai bentuk susunan, pelajar tidak akan dihalang secara terus oleh orang di barisan hadapan. Tetapi, Fedric H.Jones (2008), menyatakan bahawa sesetengah guru percaya bahawa pelajar mempunyai kebebasan untuk menentukan tempat duduk mereka sendiri di dalam kelas. Beliau juga, menyatakan bahawa pelajar yang baik adalah pelajar yang cenderung untuk memilih tempat duduk dihadapan kelas kerana secara tidak langsung mereka dapat melibatkan diri sepenuhnya  di dalam kelas dan mendapat gred yang lebih baik.
Susunan bilik darjah tradisi. Kaedah ini sesuai apabila seorang guru menyampaikan pengajaran dengan penggunaan ‘Kaedah Keseluruhan Kelas’.Menggunakan pendekatan yang berpusatkan kepada guru.Murid  tidak diberi peluang untuk bertanyakan soalan serta bergerak kecuali duduk diam dan hanya mendengar. Manakala, menurut (Mok Soon Sang, 2011), bilik darjah sekolah rendah pada masa kini berbeza daripada bilik darjah tradisi, walaupun saiz bilik darjah tidak berubah. Dari segi susunan fizikal, kerusi dan meja murid disusun mengikut kumpulan.  Kurikulum sekolah rendah pada masa kini menekankan aktiviti pembelajaran secara berkumpulan dan interaksi di antara guru dengan murid, dan murid dengan murid. Banyak sekolah rendah dan menengah menggunakan semula bilik darjah tradisi untuk aktiviti pembelajaran.  Mereka hanya menyusun meja-kerusi seperti bilik darjah kini apabila aktiviti berkumpulan dijalankan.

Susunan bilik darjah prasekolah. Reka bentuk bilik darjah prasekolah perlu selesa, menjamin keselamatan serta merangsangkan kanak-kanak. Suasana yang memudahkan pembentukan hubungan mesra antara guru dengan kanak-kanak.Terdapat dua jenis bangunan prasekolah iaitu  bilik-bilik serba lengkap atau self-contained di mana melengkapi pelbagai jenis peralatan pembelajaran dan corak terbuka di mana kanak-kanak belajar di ruang-ruang pembelajaran tertentu. Dalam bilik darjah Prasekolah, kerusi-meja disusun mengikut bilik darjah KBSR. Aktiviti berbentuk permainan menjadi aktiviti pembelajaran utama untuk kanak-kanak Prasekolah. Sebuah bilik darjah Prasekolah yang lengkap mempunyai Sudut Bacaan (Bahasa) ,Sudut permainan Matematik dan Teka-Teki,  Sudut Manipulatif, Sudut Sains, Sudut Muzik, Sudut Lukisan, Sudut Agama (Kanak-kanak Islam).



Suasana fizikal bilik darjah menjadi rangka yang menentukan keadaan pembelajaran, sama ada menggalakkan atau menghalang pembelajaran. Oleh sebab itu, ianya harus dapat dikawal dan ditentukan oleh guru. Perancangan dan penyusunan fizikal bilik darjah melibatkan mengorganisasi, merancang dan menggunakan perkara-perkara yang melibatkan tempat duduk pelajar, alat bantu mengajar, alat-alat pandang dengar, sudut-sudut aktiviti dan pameran, papan tulis dan pelbagai perabot lain, dengan sempurna. Bilik darjah yang cerah, berwarna-warni, selesa, ruang yang luas dan interaksi guru dengan pelajar serta sesama pelajar yang menyeronokkan pasti akan menghasilkan pembelajaran yang lebih mudah dan kekal berbanding dengan keadaan sebaliknya. Susun atur meja dan kerusi pelajar sebaik-baiknya dalam keadaan kemas bagi memudahkan guru mengawal kelas dan menggalakkan interaksi antara guru dengan pelajar.
Bilik Darjah Mata Pelajaran Khas
   
Bilik-bilik darjah mata pelajaran khas dilengkapi dengan pelbagai jenis alatan yang membolehkan guru membuat demonstrasi serta memberi peluang kepada menggunakannya dalam kerja amali. Bentuk meja dan kerusi diubahsuai bagi memudahkan murid menjalankan kerja amali. Selain meja dan kerusi, beberapa sudut bilik juga dilengkapi dengan perabot dan almari untuk digunakan sebagai tempat. Antara bilik darjah mata pelajarn khas yang disediakan ialah bilik makmal sains, bilik ekonomi rumahtangga, bilik seni perusahaan, bilik pusat sumber, dan lain-lain bilik mata pelajaran khas seperti geografi, matematik, dan sejarah.

Bagi susunan Horse Shoe, meja setiap orang pelajar disusun mengelilingi meja guru. Susunan bentuk Horse Shoe ini menggalakkan interaksi dua hala dan interaksi pelbagai hala. Susunan bentuk ini adalah sesuai untuk aktiviti perbincangan di antara guru dengan pelDalam Susunan Modular, meja beberapa orang pelajar disusun dalam separuh bulatan mengelilingi meja guru. Susunan bentuk Modular ini adalah sesuai digunakan untuk aktiviti kumpulan. Susunannya dapat menggalakkan interaksi di antara murid dengan murid dalam kumpulan mereka terutamanya apabila menjalankan aktiviti perbincangan, sumbangsaran, pemulihan atau penggayaan.
 Strategi Pengurusan Bilik Darjah
            Strategi pengurusan bilik darjah merupakan cara seseorang guru merangka atau menetapkan kaedah-kaedah yang ingin atau akan guru tersebut gunakan untuk mengendalikan sesebuah bilik darjah di sekolah. Strategi merupakan method atau langkah-langkah serta kaedah yang dirasakan sesuai untuk guru praktikkan di dalam bilik darjah. Hal ini demikian ,kerana setiap strategi yang digunakan oleh guru tersebut dipengaruhi oleh suasana bilik darjah, tingkah laku pelajar, kemudahan alat bantu mengajar serta bilangan pelajar di dalam bilik darjah tersebut. Kesalahan pemilihan dan pempraktikkan strategi akan memberi impak yang negatif kepada pengajaran dan pembelajaran di sesuatu bilik darjah.  Pemilihan yang tetap harus dibuat agar guru-guru dapat membimbing sesebuah bilik darjah dengan cara yang terbaik dan berkesan bergantung kepada sikap guru dan juga sikap pelajar. Terdapat beberapa strategi yang boleh dipraktikkan oleh guru ketika membimbing sesebuah bilik darjah di sekolah kelak.
            Strategi yang pertama adalah melalui pendekatan intimidasi. Pendekatan intimidasi merupakan salah satu pendekatan yang boleh digunakan di dalam bilik darjah. Dimana guru boleh mengawal tingkah laku setiap pelajar di dalam bilik darjah melalui kaedah-kaedah yang menimbulkan perasaan takut dalam diri pelajar. Misalnya ancaman. Jika terdapat pelajar yang tidak meyiapkan latihan atau tugasan, maka guru tersebut mengancam untuk menggagalkannya dalam peperiksaan akan datang. Guru tersebut berbuat demikian hanyalah untuk mengugut supaya pelajarnya membuat latihan yang diberikan. Pelajar itu akan merasa dirinya terancam maka dia akan mengambil langkah yang positif iaitu membuat latihan yang dibekalkan oleh guru. Selain ancaman, guru juga boleh mempraktikkan pendekatan intimidasi ini dengan kata- kata yang memperkecilkan diri seseorang pelajar. Sebagai contoh, membandingkan pelajar dengan niat untuk memberikannya semangat agar lebih rajin mengulangkaji pelajaran. Apabila seseorang guru melakukan demikian maka pelajar tersebut akan rasa tercabar lantas akan berusaha  dengan lebih bersungguh-sungguh. Walaubagaimanapun, pendekatan ini tidak sesuai dipraktikkan pada masa kini kerana pendekatan ini boleh menyebabkan pelajar rasa tidak disayangi dan mudah berasa putus asa.
            Strategi yang seterusnya ialah pendekatan autoritarian.  Autoritarian bermaksud tegas dan tiada tolak ansur. Di dalam seseubah bilik darjah, selalunya guru kelas akan menetapkan peraturan-peraturan dan penguatkuasaan  yang perlu ditaati oleh semua pelajar yang menghuni bilik darjah tersebut tanpa sebarang sifat tolak ansur dari pihak guru. Pelajar tidak berpeluang untuk membantah setiap peraturan atau penguatkuasaan yang telah ditetapkan. Semua tingkah laku dan perbuatan setiap pelajar di dalam kelas tersebut berpandu kepada peraturan-peraturan yang telah digariskan dan jika ingkar, maka tindakan atau hukuman akan dikenakan oleh guru kepada pelajar tersebut. Sebagai contoh, apabila guru telah menetapkan bahawa setiap hari rabu, setiap pelajar harus bekerjasama membersihkan kawasan bilik darjah, jika didapati pelajar tidak melakukan peraturan tersebut maka semua pelajar di dalam bilik darjah akan dikenakan hukuman. Segala tingkah laku dan perbuatan pelajar di dalam bilik darjah dikawal sepenuhnya oleh guru dengan cara penyeliaan secara berterusan. Guru berhak meminda mana-mana peraturan yang telah dibuat tanpa perbincangan atau persetujuan daripada pihak pelajar dan pelajar tiada hak untuk mempertikai peraturan-peraturan tersebut.
            Pendekatan sosioemosi merupakan strategi yang ketiga iaitu dengan cara guru mewujudkan suasana bilik darjah yang positif melalui pembentukan hubungan antara perorangan yang baik. Seseorang guru harus berusaha mewujudkan suasana bilik darjah yang positif.  Suasana yang positif bermaksud suasana yang mampu memberikan keselesaan kepada pelajar ketika belajar seperti aliran udara yang lancar, kemudahan bilik darjah yang lengkap seperti meja, kerusi, papan putih dan sebagainya serta pencahayaan yang baik. Kesemua ini akan menyebabkan emosi pelajar ketika berada di dalam kelas menjadi stabil dan sesuai untuk menjalankn proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu bersifat empati dalam memahami tingkah laku pelajar dengan cara mewujudkan komunikasi antara guru dengan pelajar dan komunikasi antara pelajar dengan pelajar. Hal ini demikian, kerana komunikasi yang berterusan akan memberik impak yang positif kepada suasana bilik darjah tersebut dimana setiap pelajar akan saling bekerjasama melakukan sesuatu tugasan. Sekiranya guru mendapati terdapat pelajarnya yang mempunyai masalah, maka tanggungjawab guru adalah mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar dengan kadar yang segera agar masalah tersebut tidak mengganggu emosi pelajar seterusnya menyebabkan suasana kelas menjadi hambar.
            Strategi yang seterusnya ialah pendekatan permisif iaitu kebebasan. Pendekatan ini bertentangan dengan pendekatan autoritarian.  Permisif merupakan kebebasan melakukan sesuatu tanpa halangan atau sekatan daripada individu atau pihak lain. Kebebasan sepenuhnya diberikan kepada pelajar dengan tujuan untuk memperkembangkan potensi masing-masing. Misalnya, pelajar bebas untuk memilih aliran yang akan dia ikuti ketika di tingkatan empat sama ada aliran sains atau aliran sastera bergantung kepada kemampuan serta kehendaknya. Tugas guru hanyalah sebagai konsultan atau fasilitator yang berperanan memberi nasihat dan garis panduan kepada pelajar tersebut tetapi segala keputusan dibuat oleh pelajar sendiri.  Guru juga wajar menggalakkan pelajar untuk bertanggungjawab atas pembelajaran masing-masing dimana dalam situasi ini, pelajar akan nampak lebih matang untuk melakukan sesuatu terutama dalam melakukan keputusan di dalam bilik darjah.
            Strategi yang selanjutnya ialah pendekatan pengubahan tingkah laku. Pengubahan tingkah laku boleh dilkakukan dengan cara memberikan peneguhan positif kata-kata pujian atau dengan cara negatif iaitu hukuman. Kata-kata pujian dan ganjaran untuk menggalakkan tingkah laku yang diingini serta mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Menurut model modifikasi tingkah laku B.F Skinner, prinsip peneguhan terbahagi kepada dua iaitu peneguhan positif dan juga peneguhan negatif. Peneguhan positif ialah ransangan berbentuk hadiah atau pujian bertujuan untuk meningkatkan tingkah laku yang diingini manakala peneguhan negatif pula ialah ambil komik atau sebarang denda bertujuan untuk mengeluarkan rangsangan yang tidak diingini. Menurut Skinner lagi, untuk mendapatkan tingkah laku yang diingin, maka peneguhan dan ganjaran perlu diberikan kepada pelajar. Walaubagaimanapun, peneguhan mempunyai beberapa kelemahan iaitu motif pelajar akan bertukar kepada mendapat ganjaran daripada unsur memperoleh pembelajaran. Selain itu, kurang berkesan untuk pelajar dewasa atau pelajar yang  mempunyai masalah tingkah laku yang serius serta kurang berkesan untuk mengurangkan masalah tingkah laku. Guru memainkan peranan untuk memodelkan tingkah laku yang diingini.

            Strategi yang terakhir ialah pendekatan proses kumpulan. Kumpulan pelajar di dalam bilik darjah dianggap sebagai satu sistem sosial yang perlu diwujudkan dan akan memberikan impak yang positif kepada pengajaran dan pembelajaran. Guru harus memainkan peranan untuk mewujudkan dan mengekalkan sistem sosial yang efektif dan produktif. Apabila pelajar melakukan kerja secara berkumpulan di dalam bilik darjah, maka mudah bagi guru untuk mengawal situasi pembelajaran pada waktu tersebut. Hal ini demikian, kerana pelajar-pelajar kurang melakukan salah laku kerana guru sentiasa peka dengan suasana dan aktiviti di dalam bilik darjah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan