MEMOTIVASIKAN MURID

 Pengenalan
Motivasi merupakan kecenderungan daripada diri seseorang yang dapat mempengaruhi tingkah lakunya (Kamaruddin,1997). Motivasi menentukan hala dan keberkesanan sesuatu proses pembelajaran. Motivasi merupakan elemen yang sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran  (P&P). Motivasi boleh membuatkan proses P&P menjadi lebih berkesan dan menarik. Motivasi memerlukan rangsangan untuk diwujudkan. Bagi konteks guru dengan murid, guru merupakan pihak yang akan memberikan rangsangan kepada pelajar untuk menimbulkan motivasi dan kecenderungan mereka untuk belajar. Motivasi antara pelajar dan guru boleh terdiri dalam bentuk hadiah, penghargaan , dan keprihatinan terhadap murid. Oleh hal yang demikian, guru haruslah bijak untuk memotivasikan murid dengan pelbagai kaedah dan teknik yang bersesuaian dengan pemikiran murid.

Definisi Motivasi    
Perkataan motivasi berasal daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu “motivation”. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1997), motivasi merupakan kecenderungan daripada diri seseorang yang dapat mempengaruhi tingkah lakunya. Hal ini adalah kerana motivasi bergantung kepada kecenderungan seseorang individu itu sendiri untuk membangkitkan dan mengawal motivasi diri. Selain itu, Crow & Crow (1981) menghuraikan motivasi sebagai suatu desakan yang menjadikan manusia mengubah sikap, minat atau kegiatannya. Motivasi pada murid sama ada boleh dibangkitkan melalui kecenderungan murid itu sendiri ataupun dibangkitkan oleh pihak lain seperti keluarga dan guru. Menurut Vroom dalam M. Ngalim Purwanto (1992), motivasi memacu kepada suatu proses mempengaruhi pilihan-pilihan individu terhadap bermacam-macam bentuk kegiatan yang dikehendaki.
          H. W Benard, dalam bukunya Psychology of Learning (1965), menyatakan motivasi ialah proses membangkitkan , mengekalkan dan mengawal minat. Hal ini bermaksud motivasi ialah cara bagaimana untuk mewujudkan minat pada diri seseorang untuk melakukan sesuatu tindakan atau kegiatan. Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) menghuraikan motivasi sebagai perangsang tindakan terhadap sesuatu tujuan yang dahulunya hanya terdapat sedikit atau tiada minat terhadap tujuan tersebut. Secara kesimpulan, berdasarkan pendapat di atas motivasi didefinisikan sebagai sebab, tujuan atau pendorong kepada seseorang untuk mengubah tingkah laku dan minatnya terhadap sesuatu tujuan sama ada ke arah positif atau negatif

     Implikasi Motivasi Dalam P & P
Implikasi memotivasikan pelajar dalam P&P ialah mempercayai pencapaian pelajar boleh dipertingkatkan. Contohnya, jangan abaikan pelajar yang lemah dalam subjek tertentu dan beri kata perangsang serta beri kepercayaan kepadanya  untuk terus berusaha. Selain itu, suasana pembelajaran lebih menyeronokkan. Contohnya, melakukan aktiviti permainan yang berorientasikan subjek tertentu. Penglibatan pelajar juga dapat dipertingkatkan melalui aktiviti seperti unit beruniform dan lain-lain. Guru juga boleh menggunakan set induksi yang menarik untuk membangkitkan naluri ingin tahu pelajar seperti menayangkan video dan sebagainya. Guru juga haruslah menggunakan ciri-ciri komunikasi yang positif. Contohnya, memberi senyuman dan mengangguk kepala semasa berinteraksi dengan pelajar bagi memberi semangat untuk pelajar lebih bermotivasi.

Cara Memotivasikan Murid Dalam Kelas
          Terdapat dua jenis teknik motivasi iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi daripada rangsangan dalaman. Ia terdiri daripada dorongan dan minat individu bagi melakukan sesuatu aktiviti tanpa mengharap ataupun meminta ganjaran. Bagaimanapun, bukan semua motivasi intrinsik diwujudkan secara semula jadi. Terdapat juga motivasi intrinsik dibentuk daripada pembelajaran dan pengalaman yang membawa kepuasan. Contohnya, tabiat membaca buku cerita dan bermain alat muzik adalah gerakan motivasi intrinsik yang dibentuk daripada pembelajaran dan pengalamannya. Ia juga dikaitkan dengan naluri ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan seseorang. (Bruner,1966) contohnya bermain piano atau menggubah lirik lagu.
            Motivasi ekstrinsik diwujudkan daripada rangsangan luaran dengan tujuan menggerakkan orang untuk melakukan sesuatu aktiviti yang membawa faedah kepadanya. Menurut beliau lagi, motivasi ekstrinsik ini boleh dirangsang  dalam bentuk-bentuk seperti pujian, insentif, hadiah, gred dan membentuk suasana dan iklim persekitaran yang kondusif bagi mendorongkan pelajar belajar. Motivasi ekstrinsik merupakan teknik motivasi yang sering diguna pakai oleh guru untuk memotivasikan murid.

        Kepentingan Motivasi
Secara umumnya, motivasi adalah untuk menggerakkan seseorang agar menimbulkan keinginan dan kemahuannya untuk melakukan sesuatu sehingga memperoleh hasil atau mencapai tujuan tertentu (M. Ngalim Purwanto, 1992). Motivasi penting dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi memastikan murid sentiasa mempunyai minat dan semangat untuk belajar. Minat dalam belajar penting bagi memastikan murid sentiasa mengikuti aktiviti pengajaran. Motivasi merupakan sesuatu langkah untuk memajukan murid agar dapat belajar dengan baik. Apabila murid bermotivasi untuk belajar, mereka lebih memahami dan menerima input pengajaran yang diajar oleh guru dengan mudah.
Motivasi dapat menimbulkan minat seseorang murid terhadap mata pelajaran di sekolah. Minat murid ini bergantung pada bagaimana seorang guru mengajar di dalam kelas. Penggunaan motivasi seperti berbentuk penghargaan dan kasih sayang dapat membantu murid minat terhadap mata pelajaran yang diajar. Guru yang prihatin sangat disukai oleh murid-murid. Apabila seseorang guru prihatin terhadap muridnya, murid akan berasa bahawa mereka dihargai dan murid menyukai guru serta meminati mata pelajaran yang diajar, pelajar akan dapat menerima apa sahaja yang diajar oleh guru dan berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang.
Motivasi dapat membentuk hubungan yang baik antara guru dan murid dan antara murid dengan murid. Pengaruh rakan amat penting semasa murid mengawal aktiviti pembelajaran mereka sendiri. Motivasi sangat mempengaruhi emosi murid. Misalnya sekiranya emosi mereka dikecewakan oleh rakan mereka dalam aktiviti kelas, murid berkenaan berkemungkinan besar akan patah semangat dan tidak bermotivasi untuk belajar. Oleh itu, guru sangat berperanan besar dalam menghidupkan kembali motivasi agar murid dapat belajar dengan minat yang tinggi. Motivasi dapat membantu pelajar menjadi lebih yakin terhadap keputusan diri sendiri. Murid yang sentiasa yakin dengan diri sendiri akan sentiasa bermotivasi untuk menjadi seseorang yang berjaya.
Selain itu, motivasi juga akan mewujudkan persaingan di dalam kelas. Guru harus bijak mengawal muridnya agar dapat bersaing dengan baik bagi mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Guru harus berupaya mewujudkan persaingan positif dalam kalangan pelajarnya agar murid lebih tekun untuk meningkatkan prestasi. Bagi tujuan menggalakan persaingan, guru boleh memberi pujian dan hadiah ataupun penghargaan kepada murid yang berjaya dalam mata pelajaran. Hal ini dapat meningkatkan usaha murid yang lain untuk mencapai kejayaan yang cemerlang juga. Bagi murid yang tidak berjaya , guru tidak harus mendenda atau memarahi murid yang gagal kerana itu akan menjatuhkan lagi semangat dan motivasi mereka untuk belajar.
Di samping itu, motivasi akan menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna. Apabila murid seronok belajar keadaan kelas tidak akan  menjadi tegang. Guru harus mengajar dengan cara yang menarik agar dapat menimbulkan keseronokan belajar dalam kalangan murid. Keseronokan belajar ini penting bagi meningkatkan lagi mutu pencapaian akademik. Motivasi juga dapat mendorong pelajar melibatkan diri dengan aktif dalam proses pembelajaran. Interaksi antara guru dengan murid sangat penting bagi meningkatkan tindak balas pelajar semasa guru mengajar.

     Teras Memotivasikan Pelajar Menurut Esah Sulaiman (2003).
Terdapat beberapa teras motivasi yang diberikan oleh Esah Sulaiman, antaranya ialah murid hendaklah membahagikan tugas dengan betul supaya tugas yang dilakukan seimbang. Hal ini kerana, keseimbangan dalam melakukan tugas amat penting dan dapat membantu murid untuk mengatur masa mereka dengan baik. Selain itu juga, murid mampu untuk melakukan pelbagai kerja atau tugasan dengan baik dan berkualiti kerana keseimbangan yang dilakukan dalam menjalankan atau menyiapkan tugasan yang diberikan. Apabila tugasan dibuat secara seimbang, nescaya murid tidak akan mempunyai masalah dalam menyiapkan tugasan mereka. Malah, mereka juga mampu untuk melakukan aktiviti lain dalam masa yang sama kerana tugasan atau kerja sudah dibuat dengan baik dan siap.
Selain itu, teras motivasi yang kedua ialah guru perlu menyediakan kemudahan bahan bantuan pengajaran dalam pembelajaran. Bahan bantu mengajar yang digunakan dalam kelas mampu membantu guru untuk menyampaikan pengajaran mereka dengan berkesan kepada pelajarnya. Hal ini kerana, bahan ini mampu memudahkan pelajar untuk memahami dan membantu mereka dalam pengajaran yang diajar oleh guru mereka. Malah, pelajar juga mampu menerima pembelajaran dengan cepat dan memahami takrif konsep yang ingin disampaikan oleh guru mereka. Antara alatan bahan bantuan dalam pembelajaran yang sering digunakan oleh guru ialah guru menggunakan LCD untuk memberi murid pemahaman yang sebenar mengenai pembelajaran yang diajar. Tetapi, guru juga perlu mengetahui bahan yang digunakan dalam pembelajaran mestilah sesuai dengan subjek yang ingin diajar supaya objektif yang ingin disampaikan berkesan kepada pelajar yang menerimanya.
Seterusnya ialah, guru mestilah tidak mempunyai sikap perbandingan dalam kalangan pelajarnya atau lebih tepat dikatakan guru mestilah mengelakkan perbandingan status sosial dalam kalangan muridnya. Seorang guru yang berkaliber selalunya bersikap adil kepada pelajarnya kerana sikap ini merupakan cerminan yang positif kepada pelajarnya. Sekiranya seorang guru bersikap sambil lewa dan hanya menumpukan kepada pelajar yang berstatus tinggi sahaja, ini akan menyebabkan pelajar mereka yang berstatus sosial rendah akan merasa rendah diri dan dipinggirkan dalam kelas. Malah, mereka juga tidak mahu meneruskan pembelajaran mereka kerana malu dan tidak mempunyai minat. Hal ini merangsang mereka supaya tidak mahu menonjolkan diri dan akan terus menjadi seorang yang pasif apabila berada di dalam kelas.
Teras motivasi yang terakhir ialah seorang guru yang bijak akan mengadakan pembaharuan dan memberikan cabaran kepada pelajarnya. Seorang guru yang berkaliber akan membuat pembaharuan melalui cara pengajarannya kerana pembaharuan yang dilakukan akan menarik minat pelajar untuk belajar dan mereka juga akan seronok dengan aktiviti yang mencabar mereka kerana pengajaran baru yang diberikan kepada mereka akan menambah pemahaman mereka untuk menjadi seorang yang kreatif dalam melakukan tugasan yang dilaksanakan. Malah, pembaharuan yang dibuat akan menjadikan mereka rasa tercabar dan ingin mengetahui langkah atau cara yang betul untuk menyelesaikan masalah yang diberikan. Sebagai contoh, guru mestilah memberikan tugasan kepada pelajar dan meminta pelajar untuk menyampaikan pemahaman mereka mengikut kreativiti masing-masing. Pemberian tugasan seperti ini mampu memberikan cabaran kepada murid untuk menyiapkan tugasan mereka. Malah, cara ini mampu menjadikan pelajar yang mampu berfikir di luar kotak dan menemui pelajaran yang baru semasa tugasan itu dipersembahkan.


     Cara Untuk Meningkatkan Motivasi Dalam Diri Pelajar
Antara cara yang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk meningkatkan motivasi dalam diri pelajar mereka ialah dengan memberi pelajar mereka hadiah berbentuk ganjaran. Hal ini kerana, melalui ganjaran yang diberikan pelajar akan lebih berminat dan bersemangat untuk meneruskan pelajaran. Ganjaran yang diberikan juga mestilah setimpal dengan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran tersebut. Apabila seseorang pelajar itu diberikan ganjaran, pelajar lain juga akan merasa ingin ganjaran itu diberikan juga kepada mereka. Hal ini akan menyebabkan mereka akan lebih tekun dan semangat untuk meneruskan pembelajaran dan bersaing secara sihat untuk mencapai seperti pelajar yang diberikan ganjaran itu.
Selain itu, cara meningkatkan  motivasi yang kedua ialah murid perlu tetapkan matlamat mereka sendiri. Seorang pelajar yang ingin berjaya mestilah mempunyai matlamat mereka yang tersendiri dan tidak terlalu menurut permintaan orang lain kerana hal itu akan menyebabkan mereka merasa tidak selesa dan akan kurang untuk menjadi seorang yang berjaya. Selain itu, matlamat yang ingin dicapai mestilah tidak melebihi kemampuan kita kerana matlamat yang mudah dan ringkas mampu memudahkan murid untuk mencapai matlamat mereka dengan jelas. Murid juga perlu menetapkan matlamat dengan yakin dan perlu dilakukan dengan semangat yang tinggi kerana sasaran yang ingin dicapai akan mudah diperoleh. Ibu bapa mestilah memberi sokongan dan dorongan kepada mereka supaya mereka akan lebih bersemangat untuk mencapai matlamat yang telah disasarkan. Ibu bapa juga mestilah mengetahui minat anak mereka supaya mereka tidak memaksa anak mereka supaya mengikut keinginan mereka kerana hal ini akan menyebabkan mereka tidak mempunyai semangat dan malas untuk berusaha.
Seterusnya ialah, seorang guru yang baik mestilah mengambil berat tentang keperluan atau masalah yang dihadapi oleh pelajarnya. Setiap pelajar mempunyai masalah yang berbeza dan mereka juga biasanya malu dan segan untuk memberitahu masalah kepada guru mereka kerana takut dimarahi. Sekiranya hal ini berlaku, guru mestilah memainkan peranannya dalam mendekati pelajar yang bermasalah dengan pendekatan yang berbeza. Melalui dengan cara itu, pelajar tidak akan merasa malu dan mampu untuk meluahkan masalah yang dihadapi tanpa rasa ragu-ragu. Seorang juga perlu mengambil bera tentang masalah yang dihadapi oleh pelajarnya kerana tanpa perhatian daripada guru, mereka akan memberontak dan bersikap di luar kawalan.
Cara lain untuk meningkatkan motivasi dalam diri seorang pelajar ialah melalui penglibatan murid dalam aktiviti yang dianjurkan oleh guru mereka sendiri. Penglibatan murid amat penting dalam aktiviti yang dianjurkan oleh guru kerana melalui penglibatan ini, guru mampu melihat sejauh manakah pelajar memahami pembelajaran yang diajarkan kepada mereka. Guru juga mampu melihat sikap dan personaliti pelajar melalui penglibatan pelajar itu sendiri. Sekiranya pelajar tersebut aktif dalam melibatkan diri dengan setiap perkara yang dianjurkan, itu menunjukkan bahawa pelajar tersebut boleh menerima setiap pelajaran tersebut dan memahami konsep yang disampaikan oleh guru mereka.
Di samping itu ialah, guru mestilah memenuhi keperluan pelajar dalam mata pelajaran yang diajar. Memenuhi keperluan pelajar bukanlah bermaksud guru tersebut perlu mengambil peranan dan bertindak sebagai penjaga terhadap pelajar tersebut tetapi memenuhi keperluan pelajar di sini ialah dalam memastikan murid menerima input yang diberikan berkesan dan difahami oleh pelajar tersebut. Malah, seluruh pelajar dalam kelas mampu menerima setiap butiran yang dijelaskan kepada mereka dan mereka tidak akan merasa keliru dengan apa yang cuba disampaikan oleh guru mereka.
Cara yang terakhir untuk meningkatkan motivasi ialah seorang guru mestilah mengelakkan daripada mengenakan hukuman berat kepada pelajarnya. Apabila seorang guru mengenakan hukuman berat kepada pelajarnya, emosi mereka menjadi tidak stabil dan menganggap bahawa guru mereka membenci mereka. Hal ini akan menyebabkan mereka akan menjadi semakin agresif dan bertindak mengikut kata hati. Disebabkan perkara inilah yang menyebabkan keluarnya isu pelajar menggores kereta guru yang dibencinya. Seorang guru yang profesional akan menyelesaikan masalah dengan cara yang berhemah bukannya terus menggunakan hukuman sebagai alat untuk membentuk pelajar.


    Cara Memotivasikan Murid Dalam Kelas.
Antara cara untuk memotivasikan murid di dalam kelas ialah dengan cara mengamalkan peneguhan positif dan peneguhan negatif di samping menghantar murid mengikuti kem motivasi di luar kelas. Amalan peneguhan positif merupakan suatu usaha yang menyediakan pencetus yang terancang dan sesuai serta memungkinkan pengulangan atau peningkatan tingkah laku yang dikehendaki yang lebih baik. Contohnya, guru memberi hadiah kepada murid yang telah membuat kerja dengan baik. Hal ini bertujuan supaya murid lain cenderung untuk memberikan hasil yang lebih baik dan berkualiti kepada apa yang dipelajarinya. Peneguhan negatif pula ialah guru menggunakannya ketika terdapat perlakuan dan tindakan pelajar yang bersifat negatif. Mengenakan denda atau hukuman diguna pakai oleh guru sekiranya pelajar tersebut tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan pada masa yang telah ditetapkan. Peneguhan negatif ini bertujuan untuk membuatkan pelajar sedar akan kesilapan mereka dan berazam untuk mengubah tingkah laku mereka ke arah yang lebih baik.
          Selain itu, guru mestilah menggunakan cara pengajaran yang lebih menarik. Cara pengajaran yang menarik bermaksud pengajaran yang diajar oleh guru mestilah berpusatkan kepada pelajar kerana pelajar yang menerima input yang disampaikan oleh guru. Malah, ia juga mesti melibatkan proses P&P supaya murid tidak merasa bosan dan hilang tumpuan. Seorang guru perlu menguasai dan memperkasakan diri dengan pelbagai ilmu pedagogi serta mengamalkannya di dalam kelas mahupun di luar kelas. Antara cara yang perlu digunakan ialah guru tidak semestinya menggunakan  pengajaran sehala tetapi pengajaran dua hala juga mampu menarik minat pelajar terbabit. Malah, guru juga perlu memberi peluang dan kebebasan kepada pelajar untuk membuat keputusan supaya mereka merasa diperlukan dan mempunyai fungsi.
Seterusnya, guru perlu bijak menggunakan pelbagai emosi untuk merangsang pembelajaran dan motivasi murid di dalam kelas. Apabila pelajar tidak berminat kerana tiada semangat untuk belajar, guru perlu memainkan peranan dan berupaya untuk menceriakan keadaan di dalam kelas supaya emosi dan semangat mereka hadir untuk teruskan pembelajaran. Guru juga perlu melakukan unsur kecindan supaya murid tidak merasa bosan dan mengantuk ketika guru sedang mengajar. Contohnya, dalam mata pelajaran sastera guru perlu bersyair, berpantun, bergurindam dan sebaiknya untuk menarik minat pelajar. Pada masa yang sama, pelajar dapat bergerak secara aktif, terhibur dan mempelajari mata pelajaran dengan mudah.
Di samping itu, guru mestilah menggunakan pengajaran dan penerangan yang jelas kepada pelajarnya. Apabila seorang murid lemah dalam membuat tugasan dan tidak aktif dalam penglibatan adalah disebabkan mereka tidak memahami apa yang perlu mereka lakukan. Guru sepatutnya meluangkan masa untuk menjelaskan mengapa mereka perlu mengajar sesuatu topik dan tentang kepentingan aktiviti yang dilakukan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila pelajar mengetahui tentang objektif pembelajaran, mereka akan lebih berminat untuk belajar tetapi jika pelajar tidak pasti tentang apa yang dilakukan, mereka tidak akan berminat untuk belajar dan mendapat prestasi yang kurang baik.
Cara terakhir untuk memotivasikan murid dalam kelas ialah guru perlu menerima murid seadanya serta prihatin terhadap murid. Guru tidak boleh bersikap pilih kasih dan perlu menerima murid yang tidak bijak dan lemah dalam mata pelajaran. Apabila guru memandang murid yang bermasalah dalam kelas sebagai masalah dan mengganggu proses pembelajaran, guru akan bertindak menghalau murid keluar kelas. Kesannya, pelajar tersebut merasa disisih dan kecenderungan mereka untuk belajar juga hilang serta mereka juga disisih daripada proses pembelajaran. Guru yang menghina murid yang lemah akan menyebabkan mereka runtuh minat untuk belajar. Guru sepatutnya memberi kata perangsang dan memahami keadaan murid yang bermasalah supaya mereka akan lebih bersemangat untuk belajar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan