Cari Blog Ini

KESEDIAAN MURID BELAJAR

Tahap penguasaan pembelajaran adalah berbeza bagi setiap murid. Pembelajaran bergantung pada faktor-faktor seperti kesediaan, motivasi, pengamatan dan penanggapan, ingatan dan lupaan, pemindahan pembelajaran, pemikiran serta nilai dan sikap. Bagi menjamin pembelajaran yang berkesan, seseorang murid hendaklah mencapai kesediaan kognitif (mental), kesediaan efektif (sikap dan minat) dan kesediaan psikomotor (koordinasi otot-otot dengan otak).

 Kesediaan Kognitif
Kesediaan kognitif merujuk kepada peringkat perkembangan mental untuk menerima rangsangan dan memahaminya, menaakul dan berfikir serta dapat menghubungkaitkan pengalaman sedia ada seseorang. Kamarudin (1997) menghuraikan kesediaan pembelajaran kognitif adalah kebolehan sedia ada yang telah dimiliki oleh pelajar sebelum mereka mendapat faedah daripada pembelajaran yang baru. Sebagai contoh, ketika kita membaca bahan dalam bab ini dan cuba memahaminya, kita sedang menekankan aspek kognitif. Begitu juga ketika kita mendengar dan cuba memahami kuliah yang disampaikan oleh pensyarah. Apabila seseorang individu telah mencapai kesediaan mental, pencapaian akademiknya adalah selaras dengan usaha dan latihan yang dilaluinya.

    Kesediaan Afektif
Merupakan sikap dan minat pelajar terhadap sesuatu pelajaran. Kamarudin Hj. Husin (1997) ada menjelaskan bahawa kesediaan afektif merupakan kesediaan sikap, perasaan dan nilai seseorang individu terhadap pelajaran yang diikutinya. Apabila pelajar mempunyai kesediaan afektif yang positif, secara tidak langsung mereka akan menjadi aktif dan mudah untuk menerima pembelajaran. Malahan ini menjadi dorongan kepada mereka untuk lebih berjaya. Ianya berbeza dengan pelajar yang tidak mempunyai kesediaan dari segi afektif, mereka berkemungkinan tidak dapat menerima pengajaran guru dengan sempurna dan boleh menimbulkan masalah kepada pelajar lain yang bersama-sama mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.
            Dalam bilik darjah pula, guru hendaklah memastikan kesediaan afektif seperti minat itu ada pada murid-murid. Guru hendaklah berusaha untuk mendapatkan pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran untuk menjadikan pelajaran itu menarik dan menyeronokkan. Apabila murid-murid meminati sesuatu mata pelajaran, mereka cenderung untuk memberi perhatian yang penuh dan sedia menyertai aktiviti-aktivitinya. Penglibatan dan penumpuan yang baik akan afektif. Lantaran itu, guru seharusnya menyediakan objektif, isi pelajaran, latihan dan aktiviti susulan yang seimbang dengan kesediaan afektif murid-murid bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

 Kesediaan Psikomotor
Kesediaan psikomotor ialah kesediaan fizikal pelajar untuk menjalani latihan yang menggunakan fungsi tubuh badan sebagai penggerak utama. Penguasaan kesediaan psikomotor bergantung kepada kesediaan kognitif serta kesediaan afektif pelajar. Kamarudin Hj, Husin (1997) menjelaskan bahawa seseorang murid sudah cukup bersedia bagi pembelajaran tindakan motor apabila tahap kematangannya bertindak pada waktu itu selaras dengan latihan yang diperlukan. Sebagai contoh, dalam sesuatu permainan, teknik menggunakan taktik menjadi salah satu faktor yang boleh memberikan kemenangan dalam sesuatu permainan. Tidak cukup dengan menggunakan taktik sahaja, sikap ingin menang yang ditanam dalam diri juga mampu menentukan sesuatu kejayaan dalam permainan.
          Sumber pengajaran dan pembelajaran yang bergerak hendaklah mengandungi gambar yang besar dan menarik serta huruf-huruf besar saiznya. Hal ini demikian kerana akan memudahkan penglihatan murid. Dengan itu, ternyata bahawa kesediaan psikomotor amat penting bagi kanak-kanak untuk mencapai koordinasi pergerakan otot yang sempurna. Segala aktiviti dan alat bantu mengajar yang disediakan oleh guru hendaklah sejajar dengan kesediaan psikomotor murid-muridnya.

Faktor yang Mempengaruhi Kesediaan Belajar
Di dalam sesebuah kelas yang sama, kita sering mendapati ada murid yang begitu meminati pelajaran da nada pula yang tidak mempunyai minat langsung. Kajian menunjukkan bahawa kesediaan belajar bergantung pada warisan dan pengaruh persekitaran. Faktor-faktor ini boleh digolongkan kepada pengalaman dan  kematangan. Dalam faktor kematangan, terdapat 4 jenis kematangan iaitu kematangan fizikal, mental, sosial dan emosi.

     Faktor Pengalaman
Menurut Kamarudin Hj. Husin, 1997, pengalaman yang sedia ada dalam diri seseorang pelajar menjadi faktor utama mempengaruhi kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran yang disampaikan oleh guru. Sesetengah guru menghadapi kesukaran dalam melaksanakan pengajaran kerana ini pelajaran yang disampaikan itu berada di luar pengalaman pelajar. Namun begitu, setelah didedahkan, secara tidak langsung pengalaman inilah yang membantu pelajar dengan mudah menguasai isi pelajaran yang disampaikan oleh guru.
            Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, pengalaman atau pengetahuan sedia ada murid-murid tetap akan mempengaruhi kesediaan belajar individu berkenaan. Misalnya, murid-murid yang berasal dari kawasan luar Bandar dapat menghuraikan dengan panjang lebar berkenaan kehidupan di kampung atau kawasan pedalaman. Murid-murid dari Bandar akan mendapati topik itu sukar kerana pengalaman atau pengetahuan sedia ada mereka amat terhad. Dengan itu, jelas kepada kita bahawa pengalaman yang relevan kepada sesetengah topik pelajaran akan menjadikan murid itu lebih bersedia.

Faktor Kematangan

  Kematangan fizikal
Kematangan fizikal ini melibatkan perkembangan psikomotor. Individu yang normal akan mengalami perkembangan dan mencapai satu tahap kematangan fizikal yang sama dalam satu tempoh masa yang seragam (Kamarudin Hj. Husin, 1997). Kematangan fizikal ini menjadi rujukan utama kepada guru-guru yang mengendalikan subjek berkaitan dengan penggunaan tubuh badan. Guru perlu melaksanakan pemerhatian yang teliti agar sebarang jenis kemalangan dapat dielakkan supaya tidak membawa apa-apa kecederaan kepada pelajar sewaktu aktiviti dijalankan. Kematangan fizikal ini juga melibatkan kepada perubahan otot dan tinggi badan seseorang individu. Misalnya, seseorang bayi harus dapat belajar merangkak, berdiri, berjalan dan berlari apabila otot-ototnya telah mencapai kekuatan yang diperlukan.
          Dalam konteks, pengajaran dan pembelajaran, guru hendaklah memastikan adanya kematangan fizikal sebelum mengajar sesuatu aktiviti. Kesediaan belajar dari segi kematangan fizikal amat penting bagi guru-guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Setiap aktiviti Pendidikan Jasmani hendaklah mengambil kira kematangan fizikal murid. Jika aspek ini diabaikan, prestasi murid-murid tidak akan mencapai tahap yang diingini.


  Kematangan mental
Kematangan mental merupakan perkembangan dan persediaan minda manusia untuk menerima sesuatu pembelajaran. Kebiasaannya, kanak-kanak berusia enam tahun tidak boleh memahami apa-apa yang dipelajari oleh murid tahun enam. Hal ini kerana mereka belum didedahkan dengan konsep-konsep abstrak yang telah dipelajari oleh murid tahun enam. Ini juga disebabkan kematangan mental seseorang adalah berbeza dengan seseorang yang lain. Namun begitu, individu yang berada pada lingkungan umur yang sama berkemungkinan akan mengalami proses kematangan mental yang sama. Kematangan jenis ini merujuk kepada perubahan-perubahan akibat daripada perubahan mental.
          Ketika murid-murid berada di peringkat operasi konkrit, mereka bersedia dari segi mental untuk memahami konsep-konsep seperti ruang, kelajuan dan masa. Oleh itu, di tahun 2, iaitu apabila berumur lapan tahun, kanak-kanak didedahkan kepada konsep masa dan waktu. Apabila berumur sepuluh tahun, iaitu pada tahun 4, murid-murid mula diajar konsep ruang iaitu bentuk segi tiga, segi empat dan bongkah. Jika sesuatu konsep itu diperkenalkan pada waktu dan kematangan mental murid-murid yang sesuai, pembelajaran adalah lebih mudah, cepat dan bermakna. Dengan kata lain, murid-murid Tahun 1 boleh juga diajar konsep ruang, tetapi masa yang diperlukan untuk mengajarnya adalah jauh lebih lama lagi. Ini kerana kanak-kanak tersebut belum lagi mencapai kematangan mental yang diperlukan untuk memahami konsep tersebut. Oleh yang demikian, ternyata bahawa objektif, isi pelajaran dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi satu-satu tahun persekolahan hendaklah sejajar dengan kematangan mental murid-murid. Cara ini menjadikan pembelajaran lebih bermakna, berkesan dan menyeronokkan.

 Kematangan sosial.
Kematangan sosial merupakan keupayaan seseorang individu itu membentuk hubungan baik dengan individu lain. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1997), emosi dapat diertikan sebagai suatu pengalaman yang penuh perasaan, gerak hati dan tindak balas fisiologi. Individu yang mempunyai kematangan sosial yang baik akan mempamerkan sikap dan tingkah laku yang positif apabila berinteraksi dengan individu lain. Kematangan sosial ini banyak dipengaruhi oleh keadaan persekitaran individu tersebut. Guru haruslah mengemukakan rangsangan yang boleh menarik emosi murid untuk kesediaan belajar.

  Kematangan Emosi
Menurut Shahbudin Hashim dan Dr. Rohizani Yaakob (2003:14), kematangan emosi merujuk kepada kestabilan dalam minat, sikap serta keinginan. Oleh itu, rangsangan yang selaras dengan minat dan keinginan tentunya akan mempengaruhi kesediaannya untuk menerima pelajaran. Walau bagaimanapun, perlu diberi perhatian bahawa tidak semua individu menerima rangsangan yang sama mempunyai perasaan yang sama dan serupa.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan