Cari Blog Ini

Pusat Sumber

Pusat Sumber Sekolah adalah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran yang diurus secara sistematik. Malahan,
Pusat Sumber juga menyediakan pelbagai maklumat, perkhidmatan dan keperluan bagi memperkukuhkan pengajaran-pengajaran untuk penguasaan kemahiran asas serta kemahiran maklumat pendidikan ke arah pembentukan masyarakat berbudaya ilmu, gemar membaca dan berkemahiran belajar sepanjang hayat. Pusat sumber sekolah bukan sahaja merujuk kepada perpustakaan semata-mata malahan makmal sains, makmal komputer, dan bengkel kemahiran hidup juga merupakan pusat sumber sekolah.
Dalam meniti arus globalisasi ini, perubahan dan kecanggihan teknologi dalam pelbagai bidang seperti media cetak, telekomunikasi dan sebagainya telah menjurus kepada peningkatan pencarian maklumat yang lebih baik daripada zaman sebelumnya. Malahan, penyampaian maklumat yang sungguh pantas juga turut membawa perubahan besar dan penting dalam hidup manusia. Oleh itu, pelajar-pelajar mahupun guru haruslah peka akan perubahan dan arus pemodenan sekeliling untuk bersedia mengekspoiltasi sumber-sumber teknologi dari pelbagai aspek. Jadi, pelajar haruslah membuka luas minda mereka di mana mereka bukan sahaja menggunakan buku teks semata-mata sebagai bahan rujukan, malahan terdapat sumber-sumber lain yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan.
Aktiviti pengumpulan maklumat seumpama ini boleh dipromosikan melalui penggunaan Pusat Sumber Sekolah. Sekiranya ini dilaksanakan, PSS memenuhi peranannya sebagai pelengkap kepada kurikulum. Penggabungjalinan Pusat Sumber Sekolah ke dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran seharian sekolah akan menyumbang ke arah pembinaan proses pemikiran, kemahiran belajar, kebolehan pengendalian maklumat dan pemerolehan ilmu. Jadikanlah PSS sebahagian daripada aktiviti pedagogi dalam sistem sekolah kita supaya wujud suasana aktif dan menarik. Selain itu, pusat sumber juga memberikan suasana pembelajaran yang selesa dan berkualiti. Hal ini demikian kerana, di setiap pusat sumber sekolah disediakan pelbagai kemudahan serta terdapat banyak bahan yang dijadikan sebagai rujukan.
Seterusnya, koleksi bahan-bahan yang terdapat di pusat sumber juga sering dikemaskini. Hal ini demikian kerana, sumber-sumber yang terdapat di pusat sumber sering berubah seiring dengan perkembangan pembelajaran pada masa kini. Oleh itu, bahan-bahan yang terdapat pusat sumber haruslah bersesuaian mengikut peredaran zaman supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

    Fungsi Pusat Sumber

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), penggunaan alat bantuan mengajar (ABM) merupakan salah satu kaedah yang berkesan untuk memastikan pelajar memahami setiap subjek yang diajar oleh guru. Oleh itu, pusat sumber yang terdapat di sekolah merupakan wadah yang penting untuk melancarkan proses PdP. Antara pusat sumber yang terdapat di sekolah ialah, perpustakaan, makmal sains, makmal komputer, bilik penyimpanan alat sukan, dan sebagainya. Komponen-komponen yang terdapat di pusat-pusat tersebut sering digunakan bagi subjek-subjek tertentu.
Antara fungsi Pusat Sumber ialah mengenalpasti dan sediakan koleksi bahan untuk keperluan kurikulum dan kokurikulum. Contohnya, terdapat pelbagai bahan rujukan di perpustakaan seperti buku ilmiah, majalah, jurnal dan sebagainya. Oleh itu, pelajar-pelajar akan kerap mengunjungi perpustakaan untuk mencari bahan rujukan untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Setiap bahan rujukan yang terdapat di perpustakaan merangkumi pelbagai subjek seperti bahasa Melayu, Biologi, Fizik dan sebagainya. Bahan-bahan yang terdapat di perpustakaan bukan sahaja hanya tertumpu pada subjek kurikulum sahaja malahan untuk subjek kokurikulum juga.
Seterusnya, pusat sumber juga berkhidmat sebagai pusat bahan dan alatan yang boleh digunakan dalam proses pembelajaran iaitu di mana guru-guru dapat menggunakan komponen-komponen yang terdapat dalam pusat sumber sebagai alat bantu mengajar terutamanya bagi subjek Biologi, Kimia atau Sains. Komponen-komponen yang terdapat di makmal tersebut seperti penunu bunsen, bikar, termometer dan sebagainya akan digunakan untuk melancarkan proses pembelajaran. Malahan, subjek Kemahiran Hidup juga merupakan subjek yang banyak menggunakan komponen-komponen dari pusat sumber sekolah. Dengan adanya sumber-sumber tersebut, guru dapat mengimplikasikan kaedah Kon Pengalaman Pembelajaran Dale di mana guru akan menggunakan pelbagai deria seperti menyentuh, mendengar, melihat dan merasa seterusnya dapat membantu pelajar mengingati apa yang mereka pelajari sebanyak 90%. Setiap alatan yang disediakan haruslah mencukupi agar pelajar-pelajar dapat menjalankan proses pembelajaran dengan berkesan dan lancar.
Selain itu, pusat sumber merupakan tempat pemilihan dan penilaian bahan sebelum digunakan. Guru haruslah memilih Alat Bantu Mengajar yang sesuai untuk digunakan dalam sesetiap mata pelajaran yang bakal diajar kepada anak murid. Hal ini demikian kerana, pemilihan Alat Bantu Mengajar yang sesuai dapat membantu pelajar agar lebih memahami subjek yang diajar oleh guru. Contohnya, bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani, guru haruslah memilih alatan sukan yang tidak rosak dan sesuai untuk digunakan dalam aktiviti sukan seperti badminton. Bahkan, di perpustakaan juga turut menyediakan sistem sirkulasi pelayanan bahan dan media belajar yang merujuk kepada pelajar hanya perlu menaip tajuk buku yang hendak dicari dan diberikan “entry number” untuk setiap bahan yang disimpan. Dengan cara ini, buku-buku yang terdapat di perpustakaan dapat diklasifikasikan dengan mudah dan memlancarkan lagi proses pemilihan dan penilaian bahan.
Tambahan juga, pusat sumber berfungsi sebagai penggalak kepada pelajar untuk memupuk semangat membaca dalam diri dan secara tidak langsung pelajar dapat mengingati sebanyak 10% apa yang dibaca. Terdapat pelbagai jenis buku yang disediakan di pusat sumber sekolah yang merangkumi pelbagai aspek serta variasi. Bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan bukan sahaja berunsurkan ilmiah semata-mata malahan terdapat juga bahan seperti surat khabar dan majalah yang turut disediakan di perpustakaan. Bahan-bahan bacaan tersebut dapat membuka minda pelajar dan mengetahui hal ehwal semasa yang berlaku di dalam dan luar negara. Dalam jangka masa panjang, pusat sumber sekolah makin berkembang sehingga dapat menyediakan pelbagai jenis media dan bahan belajar yang amat diperlukan oleh pelajar
Selain daripada perpustakaan, makmal komputer juga merupakan salah satu tempat penyediaan keperluan terkini teknologi pendidikan. Dalam meniti arus globalisasi ini, cara pembelajaran dan pengajaran akan berubah proses pembelajaran seiring dengan perubahan zaman. Oleh hal yang demikian, guru-guru tidak perlu lagi untuk membawa buku-buku yang banyak dan tebal kerana laman web “Frog Virtual Learning Enviroment” telah merangkumi semua bahan-bahan yang diperlukan oleh guru untuk mengajar. Oleh itu, cara pengajaran guru juga akan berubah dan menggunakan teknologi yang lebih moden dan mudah supaya kefahaman dan minat pelajar dapat ditingkatkan. Contohnya bagi subjek Sains, pelajar tidak dapat menggambarkan bagaimana proses fotosintesis berlaku. Oleh itu, guru menayangkan video dan secara tidak langsung, kesan media yang berbeza dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat mengubah kefahaman pelajar daripada sukar kepada lebih mudah. Penggunaan makmal komputer dapat menambah pengetahuan IT murid-murid supaya dapat menghadapi arus pembangunan yang lebih moden pada masa hadapan. Oleh itu, guru haruslah menguasai kemahiran IT supaya murid-murid dapat memahami apa yang diajar.
Secara keseluruhannya, Pusat Sumber Sekolah memainkan peranan yang penting dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa Pusat Sumber Sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran mungkin tidak mencapai matlamatnya dengan menyeluruh dan apabila pusat sumber sekolah sudah berkembang dengan pesat, koleksi-koleksi bahan di pusat sumber juga semakin banyak jumlah dan jenisnya serta layanan yang bermanfaat yang diberikan kepada guru dan pelajar ataupun pihak-pihak lain dapat meningkatkan lagi prestasi sekolah.

    Bahan Dan Perkakasan Yang Terdapat Dalam Pusat Sumber

Pusat sumber merupakan tempat utama yang digunakan oleh guru mahupun pelajar-pelajar. Selain itu, bahan rujukan seperti buku ilmiah, bahan dan perkakasan juga merupakan sumber yang boleh kita dapati di setiap pusat sumber sekolah. Oleh itu, bahan-bahan yang terdapat di pusat sumber merupakan alat yang penting untuk melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sumber-sumber yang terdapat di pusat sumber sekolah dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu hardware dan software.
Bagi sumber software terbahagi kepada dua iaitu bahan cetak dan bahan bukan cetak. Bahan cetak merujuk kepada bahan yang diterbitkan dalam bentuk buku, bahan khusus, dan terbitan berkala. Kebiasaannya, bahan bercetak ini boleh didapati di perpustakaan. Bahan bercetak biasanya menjadi bahan rujukan utama di mana-mana pusat sumber sekolah. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar akan merujuk sesuatu bahan ilmiah untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Bahan bercetak bukan sahaja tertumpu kepada buku-buku ilmiah tetapi majalah, surat khabar dan jurnal juga merupakan bahan bercetak yang boleh didapati di pusat sumber sekolah.
  Manakala, bagi sumber bahan bukan bercetak pula ialah perkakasan, perisian, carta, permainan, audio, bahan tiga segi, dan lain-lain. Bagi bahan perkakasan ini kebiasaannya boleh didapati di makmal sains, stor penyimpanan alatan sukan, bilik seni dan sebagainya. Perkakasan merujuk kepada komponen-komponen yang kebiasaannya digunakan dalam makmal ataupun bengkel. Contohnya, bagi subjek Sains, perkakasan yang biasa digunakan ialah bikar, termometer, stateskop, dan sebagainya. Manakala, bagi subjek Kemahiran hidup pula, kebanyakkan perkakasan disimpan di bengkel.
Selain itu, video dan audio pula boleh dimainkan atau dipaparkan di Bilik Alat Pandang Dengar (APD) dan makmal komputer. Dalam setiap bilik darjah di sekolah terdapat “projector” yang disediakan untuk menayangkan video atau audio. Dengan adanya alatan tersebut, sedikit sebanyak dapat membantu pelajar untuk mengingati sebanyak 50%  apa yang mereka dengar dan lihat. Perubahan teknologi yang lebih moden dalam pendidikan dapat membantu meningkatkan lagi prestasi dan minat pelajar untuk belajar keranan sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan sesuai dengan peredaran zaman.
Sehubungan dengan itu, bahan-bahan yang disediakan di pusat sumber secara tidak langsung dapat membantu memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran seterusnya dapat menjimatkan masa. Oleh itu, guru-guru bukan sahaja bergantung kepada bahan bercetak seperti buku ilmiah semata-mata untuk mengajar tetapi juga boleh menggunakan sumber-sumber lain yang disediakan di pusat sumber sekolah  untuk mengembangkan dan menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajar. Dengan ini, melalui bantuan sumber-sumber tersebut sesi pengajaran dan pembelajaran dapat membantu pelajar untuk lebih memahami subjek-subjek yang diajar kerana mereka dapat menjalankan amali di dalam kelas di mana guru mengajar sambil menunjukkan cara bagaimana mahu melakukan tugasan tersebut.


1 ulasan: